Azman Mahmud

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud berkata, buktinya negara menerima peningkatan pelaburan asing sehingga 63.4 peratus iaitu daripada RM36.1 bilion pada 2015 kepada RM59 bilion pada tahun lalu.

“Pelabur asing terus mengambil peluang dengan kepelbagaian ekonomi negara yang turut menjadi sinergi di rantau ini. Ini sekali gus menunjukkan ekonomi negara kini kukuh dengan pembangunan ekonomi yang dinamik.

“Switzerland adalah satu daripada rakan strategik kita dalam pelaburan dengan setakat Di­sember 2016, sejumlah 156 projek pembuatan melibatkan syarikat dari negara itu de­ngan nilai pelaburan sebanyak RM4.5 bilion direkodkan,” katanya ketika merasmikan Pusat Perkhidmat Pe­langgan dan Latihan Endress+Hauser di Bukit Jelutong di sini hari ini.

Mengulas pelanca­ran itu, Azman memberitahu, pembinaan pusat perkhidmatan oleh syarikat yang berpangkalan di Switzerland itu dengan kos RM22 juta turut mengukuhkan lagi status negara sebagai pasaran memba­ngun dan menarik untuk syarikat proses automasi.

“Endress+Hauser ialah peneraju global dalam bidang peralatan pengukuran, perkhidmatan dan solusi untuk industri kejurutraan dengan aktiviti perniagaannya pula sejajar dengan matlamat Malaysia meningkatkan kemajuan teknologi dan digitalisasi ke arah Industri 4.0,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan En­dress+Hauser, Matthias Altendorf berkata, Malaysia dianggap sebagai hab utama untuk proses automasi di Asia Tenggara.

“Syarikat kami kekal yakin dengan pertumbuhan positif di rantau ini dan kami merancang untuk menggunakan potensi besar yang ditawarkan di negara ini.

“Perniagaan kami di Malaysia semakin berkembang sejak 15 tahun lalu dengan Malaysia menjadi satu daripada pasaran utama kami di Asia Tenggara,” jelasnya.