Menurut Penganalisis Eko­nomi Pasaran Baharu Muncul Schorders, Craig Botham, kebanyakan negara dan syarikat di luar AS dan China akan terdedah kepada rantaian bekalan dan pendapatan mereka yang saling berkaitan, berpotensi meletakkan risiko kepada pertumbuhan ekonomi global.

Katanya, tarif ke atas eksport China adalah lebih ketara kepada negara ekonomi baharu berbanding eksport AS dan ia adalah lebih memberi tekanan kepada ekonomi negara baharu muncul bagi rantau Asia.

“AS dan China telah berdagang dengan ‘sengit’ sejak dua bulan lalu dan mengancam untuk mengenakan berbilion dolar tarif ke atas produk dan perkhid­matan masing-masing. Walaupun pertikaian antara kedua-dua ekonomi belum diklasifikasikan secara rasmi sebagai perang perdagangan tetapi ancaman itu sebenarnya berlaku.

“Dalam masa sama, banyak pihak hanya memberi fokus kepada kemusnahan yang berlaku ke atas China dalam perang dagangan ini namun, hakikatnya negara ekonomi baharu muncul paling tertekan.

“Malah, dalam sesetengah keadaan, kerajaan di negara-negara ini juga kurang mempunyai sumber mengenai China dan akan berdepan tekanan politik domestik yang hebat,” katanya dalam laporan yang dikeluarkan Schorders hari ini.

Presiden AS, Donald Trump dilaporkan mengugut untuk mengenakan tarif tambahan ke atas produk dari China yang dilihat akan meningkatkan kemungkinan berlakunya perang dagangan.

Trump memberi amaran bahawa AS akan melaksanakan 10 peratus tarif terhadap AS$200 bilion (RM800.26 bilion) produk China selepas China membuat keputusan menaikkan tarif pada AS$50 bilion (RM200.06 bilion) ke atas produk AS, yang merupakan tindak balas untuk tarif AS yang diumumkan Jumaat lalu.

Botham juga memberi penekanan bahawa China dan AS perlu menggantikan bekalan barangan yang terjejas memandangkan peningkatan kos seperti yang berlaku apabila harga kacang soya Brazil melonjak sejak China mencadangkan tarif 25 peratus ke atas import hasil dari AS.

Namun, katanya, tidak semua produk mempunyai potensi untuk menunjukkan peningkatan ketara, contohnya eksport wiski ke China hanya sekitar AS$6 juta (RM24.08 juta) pada 2016, ha­nya memberi sumbangan kecil kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Tarif China ke atas produk AS bagaimanapun akan membuka peluang kepada pasaran ekonomi membangun yang mencari-cari ruang untuk menggantikan AS sebagai pembekal utama komoditi bernilai tinggi manakala negara ekonomi baharu muncul pula diharapkan dapat menggantikan China sebagai pembekal bahan mentah dan komponen,” katanya.