Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong berkata, usaha penambahbaikan rangka kerja kawal selia sektor kewangan akan mencipta persekitaran yang menawarkan lebih manfaat terhadap sambungan dan teknologi digital.

“Dalam kewangan Islam, Malaysia sentiasa memperkenalkan inovasi baharu seperti Platform Akaun Pelaburan (IAP) disokong oleh perbankan Islam, ia menawarkan saluran baharu bagi pembiayaan keusahawanan.

“Selain itu, penubuhan platform perniagaan digital, Pasaran Kewangan Islam juga membuka peluang untuk menarik perniagaan berpotensi serta memudahkan institusi perbankan tempatan berkembang ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena hari kedua Persidangan Perbankan Global Institut Pengamal Bertauliah Asia (AICB) di sini hari ini.

Turut hadir Profesor Ekonomi Sunway University Business School, Prof. Yeah Kim Leng; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Mohd. Rithaudden Makip dan Pengerusi Eksekutif Brahims Dewina Group, Datuk Seri Ibrahim Ahmad.

OBOR merupakan projek berskala global atas inisiatif kerajaan China untuk menghubungkan negara terbabit dengan negara-negara di Afrika, Asia dan Eropah dengan peruntukkan hampir AS$1 trilion (RM4.27 trilion).

Menurut Chee Leong, Malaysia ketika ini merupakan pendahulu pasaran bagi segmen sukuk de­ngan penguasaan pasaran melebihi 50 peratus dari segi sukuk yang belum dijelaskan sejak tahun 2000.

“Pasaran sukuk yang menarik ini telah membawa kepada terbitan sukuk dalam pelbagai mata wang antarabangsa termasuk dolar Amerika Syarikat (AS), dolar Singapura, renminbi (RMB) China dan yen Jepun.

“Pengiktirafan Malaysia sebagai pemimpin segmen itu juga menarik minat penerbit asing untuk memasuki pasaran tempatan se­perti Singapura, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kazakhstan dan China,” katanya.