Lembaga Pembangunan Pe­laburan Malaysia (MIDA) dalam kenyataan berkata, jumlah pelaburan yang diluluskan untuk tempoh Januari hingga ­Se­ptember adalah sebanyak 3,243 projek dan dijangka menjana 93,379 peluang pekerjaan di negara ini.

Menurut MIDA, pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan meningkat 109.7 peratus kepada RM64.1 bilion pada Ja­nuari hingga September berban­ding RM30.5 bilion bagi tempoh sama 2017.

“Peningkatan ini dipacu oleh sektor pembuatan yang me­ningkat sebanyak 249.4 peratus bagi sembilan bulan pertama. FDI yang diluluskan bagi sektor utama turut meningkat 99.3 peratus.

“Prestasi positif ini mencerminkan keyakinan para pelabur terhadap Malaysia kekal kukuh di sebalik persekitaran ekonomi global yang mencabar. Pelaburan domestik menyumbang sebanyak RM75.2 bilion mewakili 54 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan melalui tiga sektor ber­kenaan,” katanya di sini hari ini.

Tambah MIDA, Malaysia kekal menjadi destinasi kompetitif untuk projek pembuatan menerusi 468 projek yang diluluskan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM59.1 bilion.

Bagaimanapun, katanya, sektor perkhidmatan mencatatkan penurunan dengan nilai pelaburan sebanyak RM69.9 bi­lion bagi tempoh Januari hingga September berbanding RM74.2 bilion bagi tempoh sama 2017.

“Sebanyak 2,721 projek diluluskan dan dijangka menjana 50,896 peluang pekerjaan. Pelaburan domestik merekodkan jumlah tertinggi dengan RM60.4 bilion manakala selebihnya adalah pelaburan asing,” jelasnya.

Sementara itu, MIDA berkata, pelaburan asing bagi sektor utama menjadi komposisi terbesar dengan sumbangan sebanyak RM5.8 bilion. Subsektor perladangan merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM9.7 bi­lion menerusi 22 projek diikuti oleh perladangan dan komoditi (RM501.5 juta) sementara selebihnya adalah pertanian.

“Secara keseluruhan, keha­diran pelabur asing khususnya dalam sektor pembuatan membantu membesarkan pasaran menerusi pertumbuhan ekosistem rantaian bekalan tempatan dan industri perkhidmatan berkaitan. MIDA menggesa industri untuk memanfaatkan peluang dengan melaksanakan teknologi canggih bagi mening­katkan produktiviti dan daya saing,” ujarnya.