Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Alibaba Group baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman untuk menghubungkan e-hab di bawah Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP).

HSBC Bank Malaysia Bhd. berkata, kerjasama tersebut bertujuan untuk membina infrastruktur bagi perdagangan e-dagang merentas sempadan yang lancar antara Malaysia dan China, selain menjadi hab bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ingin menjalankan aktiviti komersial, dan mereka boleh mendapatkan perkhidmatan terdiri daripada e-dagang, pengkomputeran awan, logistik, pembayaran mudah alih dan latihan tenaga kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Mukhtar Hussain, berkata teknologi digital yang semakin meluas pen­ting untuk mengukuhkan produktiviti, inovasi dan taraf hidup me­rentasi ekonomi yang lebih luas.

“Dengan eWTP, Malaysia me­­neruskan visi transformasi eko­nominya dan mengambil langkah untuk menjadi hab penunaian dan sumber utama di Asia,” kata­nya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, #MYCYBERSALE dengan kerjasama MDEC, mencapai nilai dagangan kasar (GMV) lebih RM300 juta pada tahun ini, meningkat 42 peratus berbanding RM211 juta pada 2016, dalam tempoh lima hari dari 9-13 Oktober lalu.

Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan lebih 1,000 PKS dalam talian menerapkan e-dagang dan meningkatkan inovasi selain merangsang pasaran e-dagang domestik.

“Kejayaan inisiatif itu menunjukkan rakyat Malaysia terus me­nerapkan budaya e-dagang.

“Kita dapat melihat perubahan dari segi cara rakyat Malaysia membeli-belah. Suatu yang baik untuk melihat industri e-dagang dan ekonomi digital berkembang dengan begitu pesat,” kata Mukhtar.

Beliau berkata, kemasukan penyedia dompet elektronik (e-dompet) turut dijangka mengubah landskap sistem pembayaran di Malaysia.

Kemunculan e-dompet akan terus menyumbang kepada pembangunan e-dagang dan menambah baik sistem pembayaran runcit dengan menawarkan proses pembayaran yang selamat, cepat dan mudah selain menyokong usa­ha global ke arah masyarakat tanpa tunai, kata Mukhtar. – BERNAMA