Ekonomi digital merujuk kepada suatu yang berdasarkan kepada teknologi pengkomputeran digital dan dijangka menjadi cara perniagaan dijalankan pada masa depan.

Kaedah yang digunakan terbukti menjadi lebih berkesan dari segi kos dan masa, berbanding cara tradisional.

Dalam usaha ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020, Malaysia melaksanakan banyak strategi, termasuk peralihan kepada ekonomi digital untuk terus kompetitif dan relevan kepada persekitaran perniagaan yang moden.

Ketua Pengurusan Pelanggan Global bagi Asia Pasifik BNY Mellon, Gregory T. Roath berkata, Malaysia berada di landasan yang betul dari segi kesedaran dan minat terhadap ekonomi digital atau juga dikenali sebagai ekonomi internet.

“Berbincang dengan pelanggan kami (di Malaysia), seperti dana persaraan, mereka bersedia (untuk memulakan ekonomi digital) dan berbincang dengan kami untuk mendapat pemahaman mengenai apa yang BNY Mellon lakukan dan bagaimana ia akan memberi manfaat kepada mereka.

“Malah, sebahagian daripada pelanggan kami di rantau ini telah mengunjungi pusat inovasi kami, termasuk di Lembah Silicon.

“Tahap kesedaran dalam kalangan ahli perniagaan Malaysia berkaitan ekonomi digital amat tinggi pada masa ini, setanding dengan organisasi utama lain di rantau ini, berhubung pemahaman mereka mengenai teknologi dan minat untuk menggunakan teknologi terkini,” katanya kepada Bernama.