Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, EU dilihat sengaja menghalang kemasukan produk minyak sawit ke pasaran mereka.

Jelas beliau, Malaysia akan bekerjasama dengan negara pengeluar lain bagi menyatakan bantahan dan pendapat mengenai situasi yang berlaku.

“Kita akan merujuk isu tersebut kepada beberapa jawatan kuasa WTO seperti Sanitary and Phytosanitary (SPS), Teknikal Halangan Untuk Berdagang (TBT) dan Akses Pasaran pada April depan.

“Pada masa sama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mempengerusikan mesyuarat bersama pakar teknikal Rakan Minyak Sawit (FPO) di Geneva, Switzerland bagi membincangkan kemungkinan yang timbul daripada tindakan EU ini,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Mustapa menambah, perkembangan itu jelas mencerminkan diskriminasi terhadap negara pe­ngeluar minyak sawit.

Katanya, langkah itu juga mendorong kepada ketidaktentuan dalam persekitaran perdagangan global.

“Malaysia akan mencari penyelesaian komprehensif bagi menghadapi diskriminasi bahan api bio berasaskan kelapa sawit berbanding tanaman lain melalui rundingan Malaysia-EU FTA (MEUFTA).

“MITI juga akan bekerjasama erat de­ngan Kementerian Pe­rusahaan Perlada­ngan dan Komoditi dalam mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara EU. Penyelesaian yang saksama juga akan dicari untuk kepenti­ngan negara dan pihak berkepen­tingan,” kata beliau.