Yasmin Mahmood
Yasmin Mahmood

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood berkata, bagaimanapun Malaysia masih memerlukan lebih banyak syarikat permulaan yang bukan sahaja mempunyai idea malah disiplin bagi menjalankan perniagaan.

Katanya, syarikat permulaan fintech juga harus bersedia dalam segenap aspek termasuk menguruskan kedudukan kewangan dan memastikan pulangan pelaburan kepada pelabur masing-masing.

“Fintech masih baharu di Malaysia dan perjalanannya masih jauh. Namun, kesedaran terhadapnya dilihat sudah ada dalam kalangan syarikat permulaan hari ini.

“Kami di MDEC dapat melihat syarikat permulaan Malaysia mula meluaskan kehadiran mereka di luar negara dan industri perbankan turut menyokong syarikat-syarikat permulaan ini,” katanya kepada pemberita pada persidangan Finnovasia di sini hari ini.

Finnovasia yang berlangsung selama dua hari merupakan persidangan perintis Fintech Global di Malaysia yang menghimpunkan penceramah dan pengamal yang terlibat dalam sektor fintech meliputi bidang pembangunan perniagaan, perbankan dan inovasi.

Tambah Yasmin, MDEC berharap ekosistem perniagaan dapat dibangunkan dengan lebih baik di Malaysia dan pihaknya turut mencadangkan lebih banyak peluang terutamanya dalam bidang inovasi, termasuk analisis data dan Internet Segala-galanya (IOT).

“Dalam tempoh enam hingga 12 bulan lepas, MDEC telah melihat momentum kukuh dalam sektor ini terutamanya daripada pembekal dan pihak yang mengguna pakai penyelesaian fintech itu sendiri, ini jelas membuktikan potensinya adalah cukup besar,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan pembukaannya Yasmin berkata, sebagai penggiat utama global dalam kewangan Islam, penggiat fintech di Malaysia boleh melancarkan dan memberi perkhidmatan dalam pasaran yang berbeza.

“Fintech masih baharu kepada kita semua, namun ia tidak akan menghalang kita daripada mewujudkan ekosistem teratur yang memahami bagaimana penglibatan antara syarikat permulaan, pelabur dan pakar-pakar inovasi lain dari seluruh dunia dapat memberi nilai tambah kepada ekonomi negara,” katanya.