Pangkalan data ini bagaima­na­pun adalah berbeza dengan apa yang disalurkan oleh Pusat Maklumat Hartanah Kebangsaan (NAPIC) kerana ia hanya mengumpul dan membentangkan maklumat berkaitan sektor pasaran hartanah.

Perkara berke­naan antara yang disentuh Pakar Perumahan Kanan dalam Pengurusan Bandar dan Risiko Bencana, Asia Timur dan Pasifik, Bank Dunia, Dao Harrison yang berpendapat pangkalan data bersepadu adalah amat penting dan merupakan satu daripada agenda yang perlu dimasukkan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

“Namun, daripada perspektif kami, pangkalan data bersepadu sahaja secara dasarnya tidak mencukupi kerana ia memerlukan lebih daripada itu. Apa yang saya ingin cadangkan ialah mewujudkan National Housing Think-Tank bagi membolehkan pengumpulan maklumat dan analisis dibuat secara berpusat,” katanya dalam sesi Perbincangan Panel ‘Memacu Pasaran Rumah Mampu Milik bagi Perbandaran Urban’ sempena Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9) yang berakhir kelmarin.

Berbeza dengan senario di Singapura, Housing Development Board (HDB) me­rumuskan dasar perumahan yang optimum dan membina perumahan awam de­ngan sokongan pangkalan data menyeluruh yang dikemas kini berdasarkan kaji selidik yang dilakukan setiap lima tahun.

Di Amerika Syarikat pula, Department of Housing and Urban Development merancang dan mereka bentuk program perumahan untuk kumpulan sasar yang berbeza-beza menggunakan American Housing Survey11 yang dilaksanakan setiap dua tahun.

Sehubungan itu. dalam laporan berkenaan, bank pusat mencadangkan supaya pangkalan data mengandungi maklumat pendapatan, ciri-ciri dan pilihan (saiz binaan dan lokasi) isi rumah dalam pasaran.

Dengan mengambil contoh di Thailand, bekas Ketua Pe­ngarah Pusat Maklumat Harta Tanah Thailand, Samma Kitsin berkata, Kementerian Kewa­ngan Thailand mahu menubuhkan sumber maklumat hartanah yang boleh dipercayai dan tidak berat sebelah bagi membantu atau mengurangkan kesan daripada krisis pada masa hadapan yang menyaksikan penubuhan pusat maklumat itu pada 2004.

Sementara itu, Penganalisis Hartanah, Ishak Ismail berkata, dengan menjadikan Singapura sebagai contoh terbaik, HBD me­ngawal segala pembinaan rumah mampu milik di peringkat Persekutuan kerana mereka mempu­nyai kesemua data dan maklumat berkaitan manakala pemaju pula membina rumah lain dan bukannya rumah mampu milik.

“Berbeza dengan kita, secara dasarnya Malaysia tiada data ini secara berpusat. Ia terletak secara berselerak sama ada di peringkat Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (Projek Perumahan Rakyat), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan) ataupun Kementerian Kewangan.

“Selain itu definisi rumah mampu milik juga adalah berbeza antara kerajaan negeri dan peringkat Persekutuan, yang semakin menyukarkan usaha pembekalan rumah mampu milik dibuat secara efisien. Malah, di Thailand juga mempunyai data ini, jika kita cuba carian peringkat umur dan pembelian rumah contohnya, maklumat ini ada,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif IM Global Pro­perty Consultants Sdn. Bhd., sebuah syarikat perunding hartanah menegaskan, sudah tiba masanya satu penyelesaian jangka panjang dibuat dengan mewujudkan satu agensi khas yang boleh membekalkan rumah mampu milik di peringkat Persekutuan yang berperanan sebagai one stop centre kepada segala usaha pembinaan rumah mampu milik dan turut menyediakan perkhidmatan pembe­lian rumah mampu milik secara dalam talian.