Pada Februari lalu, Alibaba meningkatkan pelaburannya ke Asia Tenggara melalui Lazada dengan tambahan pelaburan sebanyak RM8 bilion. Tam­bahan pula, syarikat gergasi e-dagang China juga telah melantik eksekutif veterannya, Lucy Peng sebagai Ketua Eksekutif Lazada untuk mempercepat pertumbuhan dan memperdalam integrasinya ke dalam ekosistem Alibaba. Sehingga kini, Alibaba telah melabur sejumlah RM16 bilion ke dalam Lazada.

Jutawan Cina, juga pengasas Alibaba, Jack Ma secara peri­badi berjabat tangan dengan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada awal 2018, semasa melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ). Perkara ini penting kerana hab e-pemenuhan seluas 24,700 ekar dijangka menjana lebih RM6 bilion pelaburan asing dan domestik untuk Malaysia.

Ketidakpastian selepas 
Pilihan Raya Umum ke-14

Pada bulan Mei, projek impian Jack Ma di Malaysia telah mengalami beberapa ketidakpastian selepas pilihan raya umum. Pada 9 Mei 2018, Malaysia menjalani pembaharuan politik yang drastik, mengakhiri pemerintahan selama 61 tahun parti politik terdahulu. Apabila kerajaan baru terbentuk, ia mengumumkan bahawa ia akan mengkaji semula semua tawaran yang dibuat dengan China kerana sesetengahnya dianggap tidak menguntungkan Malaysia dalam jangka masa panjang. Termasuk juga dalam penelitiannya ialah pelaburan Alibaba ke Malaysia dengan penubuhan DFTZ dengan kerajaan yang terdahulu.

Beberapa pengkritik berkata, China memegang terlalu ba­nyak kawalan ke atas DFTZ. Kebimbangan yang sama juga telah disuarakan oleh pemain antarabangsa kerana ia bimbang akan inisiatif Belt and Road.

Bagi menyelesaikan ketidakpastian tersebut, sumber me­nyatakan bahawa Jack Ma berhasrat untuk bertemu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia kini, sebulan selepas pilihan raya untuk membincangkan mengenai perkara itu. Walaubagaimanapun, Ma tidak dapat bertemu Perdana Menteri, akibat keka­ngan masa.

Namun pada 18 Jun, Jack Ma akhirnya dapat bertemu dengan Dr. Mahathir. Dalam pertemuan tersebut, beliau memberi jaminan bahawa syarikat China bersungguh-sungguh ingin membantu Malaysia menerusi DFTZ serta pelbagai usaha yang akan disumbangkan untuk membantu membangunkan negara Malaysia. Ia adalah pertemuan yang sangat berjaya, dan Dr. Mahathir dalam media sosialnya menyatakan: “Kami mempu­nyai pertukaran idea yang baik mengenai pelbagai subjek” dan mengesahkan bahawa projek DFTZ akan diteruskan seperti yang dirancang.

Hubungan antara Jack Ma dan Dr. Mahathir semakin diperkuat sejak beberapa ming­gu ke­belakangan ini ketika Perdana Menteri melakukan lawatannya selama lima hari ke China de­ngan lawatan ke Hangzhou, ibu pejabat Alibaba pada 18 Ogos lalu.

Kenapa China Berminat 
de­ngan Ekonomi Digital Asia Tenggara?

Dengan teknologi yang begitu canggih dan populasi penduduk yang semakin berkembang di negara asalnya, seseorang mungkin tertanya-tanya: Apa menariknya Asia Tenggara yang membuatkan syarikat-syarikat China seperti Alibaba berminat untuk membuat pelaburan yang besar ke rantau ini?

Selain hakikat bahawa Asia Tenggara secara geografinya berdekatan dengan China, rantau ini juga telah menunjukkan potensi yang amat besar beberapa tahun kebelakangan ini, dengan 600 juta orang masih belum terjangkau dan populasi penduduk kelas pertengahan yang semakin meningkat.

Perkara ini amat menarik, tambahan pula ekonomi China kini makin perlahan dan syarikat gergasi China (seperti Alibaba) seolah sedang berada di atas timbunan wang tunai yang sedia untuk dibelanjakan bagi pertumbuhan luar negara.

Pelaburan Alibaba ke rantau ini hanyalah permulaan. Kita patut menjangkakan bahawa lebih banyak syarikat dari China bakal membuat pelaburan dalam usaha untuk menguasai ruang digital di Asia Tenggara. Antara yang sudah selesa melabur di rantau ini adalah Tencent yang telah melabur ke dalam Shopee, Tokopedia dan Go Jek. Syarikat gergasi China yang dijangka bakal memasuki pasaran Asia Tenggara adalah Baidu (enjin carian) dan Didi Chuxing (pengangkutan).

Perkara ini memberi berfaedah yang amat untuk perniagaan serta pengguna kerana akses yang lebih besar kepada produk dan perkhidmatan yang menarik akan disediakan kepada semua untuk meningkatkan lagi kualiti hidup.

Jeremy Chew merupakan Pemasar Kanan Kandungan iPrice Group https://iprice.my