Fitch Ratings dalam kenyata­annya berkata, Mac lalu Fitch Rating memberikan penarafan ‘A’ kepada Malaysia dengan unjuran yang stabil dengan menyatakan bahawa keputusan pilihan raya tidak mungkin membawa kepada perubahan dasar ekonomi yang ketara.

Namun katanya, sejauh mana agenda kerajaan baharu itu akan mengubah dasar utama masih tidak dapat dipastikan, tetapi secara dasarnya kemenangan PH menunjukkan potensi lebih besar bagi perubahan.

“Buat masa ini Fitch Ratings akan memantau agenda dan da­sar-dasar kerajaan,” katanya di sini hari ini.

PH dalam manifesto PRU-14 antara lain menggariskan pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan penstrukturan semula subsidi dalam tempoh 100 hari pemerintahannya.

Fitch Ratings turut menekankan, sebarang perubahan dasar yang membawa kepada kemerosotan dalam disiplin fiskal dan hutang atau defisit kerajaan yang lebih tinggi mungkin memberikan penarafan negatif.

“Antara cadangan yang paling ketara oleh kerajaan baharu Malaysia adalah menggantikan GST yang dilancarkan pada tahun 2015 dengan cukai jualan dan perkhid­matan (SST) yang lebih rendah yang pernah digunakan sebelum ini.

“GST telah menjadi sumber utama hasil kerajaan, menyumbang 18 peratus daripada jumlah hasil yang sama dengan hanya lebih 3 peratus daripada KDNK pada tahun 2017.

“Sebagai perbandingan, SST menyumbang hanya 8 peratus da­ripada jumlah hasil dan 1.6 pera­tus daripada KDNK pada tahun 2014.

“Oleh itu, jika tiada sebarang langkah-langkah pengawalan diambil, penggantian GST akan me­ng­akibatkan defisit yang sama,” katanya.

Dalam pada itu firma penarafan itu berkata, momentum pertumbuhan Malaysia yang kekal kukuh merupakan faktor utama yang menyokong penarafannya.

“Kami terus meramalkan pertumbuhan purata melebihi median ‘A’, walaupun ketidaktentuan dasar dan ketidaktentuan pasaran boleh menyebabkan beberapa kekurangan jangka pendek.

“Kredit Malaysia juga mendapat manfaat daripada peningkatan akaun luar dan fiskal pada tahun-tahun kebelakangan ini, biarpun pendapatan per kapita yang lebih rendah, pembangunan sosial dan tadbir urus telah bertindak sebagai kekangan penarafan,” katanya.