Timbalan Menteri Perdagangan China, Wang Bingnan berkata, ia amat penting kerana kedudukan Malaysia amat strategik sebagai gerbang kepada ekonomi di rantau ASEAN yang merangkumi 625 juta penduduk.

Katanya, sehubungan itu, PKS perlu merebut peluang tersebut dengan melonjakkan penglibatan mereka dalam e-dagang terutama dengan Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) yang dijangka menyediakan pelbagai peluang untuk menembusi pasaran baharu.

“Kementerian Perdagangan China (Mofcom) menerusi pelan tindakan e-dagang akan terus melaksanakan pelbagai usaha bagi memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan memastikan ia membawa hasil yang berkesan pada masa hadapan,” katanya dalam ucapan pada Forum Mini E-Dagang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Ir. Dr. Mohd. Shahreen Zainooreen Madros dan Pengarah Kanan Ekonomi dan Divisyen Hubungan Dagangan MITI, Bahria Mohd. Tamil.

Forum mini itu dianjurkan Majlis E-Dagang Kebangsaan dan Mofcom untuk memberi peluang kepada PKS mendapat manfaat daripada Zon Be­bas Perdagangan Digital (DFTZ).

Di bawah Hala Tuju Strategik E-Dagang, kerajaan menyasarkan peningkatan pertumbuhan e-dagang kepada 20 peratus menjelang 2020 berbanding 11 peratus ketika ini dengan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM211 bilion.

Sementara itu, Ka Chuan berkata, pihaknya berharap pada suku pertama tahun hadapan dapat mewujudkan satu kerangka khusus mengenai e-dagang dengan China terutamanya berkaitan dengan dasar dan polisi yang rumit.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang terlebih dahulu berkenaan perkara tersebut bagi memudahkan urusan dagangan kedua-dua buah negara kerana terdapat beberapa produk yang sukar menembusi negara tersebut, misalnya barangan penjagaan kesihatan dan ubat-ubatan.

“Kita berharap mempunyai satu pelan yang memudahkan hubungan dagangan ini contohnya menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dapat melancarkan urusan dengan pihak kastam di China dan membawa masuk produk tempatan ke sana,” katanya.