Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihak Malaysia termasuk pemain-pemain industri perlu kerap mengikuti perkembangan industri automotif di Thailand ekoran negara itu yang berjaya menjadi tumpuan syarikat-syarikat automotif dunia untuk dijadikan rantaian pengeluaran automotif terbesar di rantau ini.

Tambahnya, Malaysia perlu mengamalkan sikap merendah diri untuk mempelajari sesuatu yang bermanfaat sekali pun dari negara yang tidak mempunyai kekuatan ekonomi seperti negara ini.

“Thailand mempunyai industri automotif paling pesat di ASEAN dan kita perlu meninjau negara ini untuk mengetahui selok-belok industri automotif mereka,” katanya dalam majlis makan malam bersama komuniti perniagaan dan profesional Malaysia di Thailand, di sini malam tadi.

Thailand merupakan pusat pengeluaran automotif terbesar di ASEAN dengan beberapa syarikat automotif Jepun dan Amerika Syarikat (AS) berpangkalan di negara itu. Malah, lebih daripada 50 peratus kapasiti pengeluaran kenderaan di negara itu adalah untuk tujuan eksport.

Negara itu juga dijadikan hab oleh beberapa syarikat automotif dunia untuk mengeluarkan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Katanya, integrasi negara-negara di rantau ini melalui ASEAN membolehkan setiap negara menilai prestasi masing-masing dan mempelajari antara satu sama lain.

Selain automotif, Mustapa berkata, Malaysia menilai kemampuan Thailand yang menjadikan industri pelancongan dan pertanian sebagai penyumbang penting kepada ekonominya.

“Pelancongan merupakan sektor yang memberi impak secara terus kepada ekonomi. Apabila pelancong datang, mereka berbelanja untuk pelbagai perkara seperti penginapan dan makanan, ia secara langsung menjana pendapatan kepada perniagaan tempatan,” katanya.

Pada masa sama katanya, Thailand boleh mencontohi Malaysia yang berjaya mengubah struktur ekonomi kepada sebuah negara industri.

Beliau dalam pada itu berkata, walaupun tahun ini Malaysia bukan lagi Pengerusi ASEAN namun negara mahu memainkan peranan penting untuk meneruskan momentum pembentukan ASEAN sebagai sebuah komuniti seperti yang diumumkan semasa Malaysia menjadi Pengerusi.

“ASEAN akan terus berkembang berbanding blok-blok ekonomi yang lain. Walaupun berlakunya ketegangan akibat perebutan hak kawasan di Laut China Selatan, ia tidak menjejaskan perkembangan ekonomi di rantau ini,” katanya.

Beliau memberi contoh Vietnam yang mempunyai populasi hampir 100 juta merekodkan nilai perdagangan dengan Malaysia lebih RM30 bilion, bersamaan nilai perdagangan Malaysia dengan rantau Afrika walaupun benua itu memiliki penduduk hampir satu bilion.

“Saya akan lebih kerap mengadakan lawatan ke negara-negara ASEAN tahun ini bagi memastikan momentum pembentukan komuniti dan perhubungan ekonomi sesama negara anggota terus kukuh,” katanya. – UTUSAN