Beliau juga memberitahu, Fitch Rating semalam telah menarafkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berada dalam kategori A- bersandarkan kepada beberapa faktor termasuklah pertumbuhan keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Dana Kewangan Dunia (IMF) dan Bank Dunia juga telah meningkatkan jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk tahun ini kepada hampir lima peratus dan ang­ka itu dijangka meningkat pada tahun depan.

“Jadi jangan dengar kepada mereka yang menyebarkan berita-berita palsu mengenai Malaysia. Hakikatnya, berdasarkan laporan terkini Bank Dunia telah menyimpulkan bahawa ‘ekonomi Malaysia sedang berkembang daripada sudut kekuatan’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) di sini hari ini.

Najib pada masa sama menjelaskan beberapa pencapaian dikecapi negara sejak kerajaan memperkenalkan Program Transformasi Ekonomi pada tahun 2010.

Antaranya, kata Perdana Menteri ialah pendapatan kasar negara meningkat kepada 51.8 peratus dengan 2.26 juta peluang pekerjaan dicipta.

“Kadar pengangguran dan inflasi dikekalkan pada tahap yang rendah dan defisit semakin berkurangan. Pertumbuhan yang sangat sihat walaupun dalam situasi ketidaktentuan global,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Najib menggesa lebih ramai kontraktor mengguna pakai teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang lebih cepat, kurang berisiko dan melibatkan kos infrastruktur lebih rendah.

“Kesan pelaksanaan IBS kepada kos serta penggunaan buruh adalah signifikan. Dijangkakan pelaksanaan IBS mampu mengurangkan jumlah pekerja diperlukan kepada separuh dan perbelanjaan kepada 14 peratus,” katanya.