Ketua Ekonomi World Bank Group, Richard Record berkata, keterhubungan internet yang pantas, boleh dipercayai dan boleh diakses di mana-mana ada­lah antara kunci bagi mening­katkan potensi ekonomi digital Malaysia.

Katanya, Malaysia bagai­ma­na­pun didapati memiliki had kelajuan muat turun internet yang perlahan pada harga yang tinggi berbanding negara-negara ekonomi maju yang lain.

“Kebanyakan ekonomi maju aktif melancarkan sambungan internet jalur lebar ultra pantas yang beroperasi pada kelajuan lebih daripada 100 megabit sesaat (Mbps) dan menyediakan inovasi asas seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Saling Berhubung (IoT) dan Industri 4.0.

“Sebagai contoh, Kesatuan Eropah (EU) menyediakan sambungan 1 gigabit sesaat (Gbps) untuk semua pusat bandar utama, sekolah, hab pengangkutan dan kemudahan awam dan sekurang-kurangnya 100 Mbps (ditingkatkan kepada 1Gbps) untuk semua isi rumah menje­lang 2025.

“Singapura pula sedang menyediakan kelajuan muat turun 1 Gbps dan ke atas dan Republik Korea merancang untuk mengkomersialkan perkhidmatan jalur lebar 10 Gbps menjelang 2022.

“Sebaliknya, inisiatif jalur lebar Malaysia hanya ditawarkan dengan kadar muat turun maksimum 100 Mbps dan ia terhad kepada ibu negeri, bandar utama dan kawasan berkepadatan tinggi, manakala kelajuan maksimum di pinggir bandar dan luar bandar adalah tidak melebihi 20 Mbps dan 4 Mbps,” katanya dalam Laporan Ekonomi Digital Malaysia yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Record berkata, dengan hampir 80 peratus daripada populasi Malaysia aktif di atas talian terutamanya melalui rangkaian mudah alih, negara ini masih agak ketinggalan dalam liputan dan penggunaan perkhid­matan jalur lebar tetap berbanding de­ngan ta­hap pemba­ngunan ekonomi.

Katanya, terdapat hanya sembilan langganan jalur le­bar tetap bagi setiap 100 penduduk Malaysia pada 2016, kurang daripada pendapatan per kapita dan hanya sebahagian kecil da­ripada 92 langganan jalur lebar mudah alih Malaysia bagi se­tiap 100 pendu­duk.

“Kekurangan persaingan da­lam pasaran talian tetap jalur lebar kelajuan tinggi di Malaysia menjadi penyumbang kepada harga perkhidmatan tinggi, liputan yang rendah dan hala tuju yang terhad di negara ini.

“Kedudukan Telekom Malaysia Bhd. (TM) yang dominan, mengawal 92 peratus langganan jalur lebar tetap di Malaysia antara punca menjadikan pasaran Malaysia lebih tepu berbanding negara lain di ASEAN atau Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD),” katanya.