MUSTAPA MOHAMED
MUSTAPA MOHAMED

Secara keseluruhannya, laporan itu menyenaraikan New Zealand sebagai ‘paling mesra perniagaan’ di dunia, mengatasi Singapura dan Denmark dan diikuti oleh Korea Selatan dan Hong Kong.

Dalam kelompok ASEAN, Malaysia di kedudukan kedua selepas Singapura dan mendahului Thailand (kedudukan ke-26), Brunei (56) dan Vietnam (68).

Di Asia, Malaysia berada dalam kelompok lima negara teratas selepas Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan.

Pada tahun ini, Malaysia berada di kedudukan ke-24 dan turun daripada tempat ke-23, tahun lepas.

“Walaupun turun sedikit, Malaysia sebenarnya mencatat pe­ningkatan sebanyak 0.96 kepada 78.43 dari segi skor 'jarak kepada peneraju' (DTF) berbanding 77.47 pada tahun lepas.

“Penurunan dari segi kedudukan itu adalah disebabkan oleh pembaharuan yang dilaksanakan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang diterjemahkan kepada peningkatan DTF sebanyak 1.87 yang memboleh­kannya melonjak kepada kedudukan 21 pada tahun ini berbanding 26 pada 2016, kata MITI dalam kenyataan di sini hari ini.

Laporan ‘Menjalankan Pernia­gaan Bank Dunia 2018 : Pembaharuan Bagi Mewujudkan Pekerjaan’ itu merupakan yang ke-15 dalam siri laporan tahunan yang mengukur peraturan membabitkan 11 bidang dalam usaha menjalankan perniagaan.

Sebanyak 10 aspek berkaitan turut dimasukkan dalam penyenaraian tahun ini iaitu kemudahan menjalankan perniagaan, memulakan perniagaan, urusan membabitkan permit pembinaan, mendapatkan tenaga elektrik, pendaftaran hartanah, mendapatkan kredit, melindungi pelabur minoriti, pembayaran cukai, perdagangan merentasi sempadan, pelaksanaan kontrak dan menyelesaikan ketidakmampuan membuat pembayaran.Ia turut mengukur kawal selia pasaran buruh yang sebelum ini tidak disenaraikan.

Laporan itu merangkumi data yang dikumpulkan pada tempoh mulai 2 Jun 2016 sehingga 1 Jun 2017.

Sementara itu, Menteri Per­daga­ngan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun Malaysia jatuh satu anak tangga, ia masih mencatat kejayaan dalam pembaharuan kawal selia perniagaan yang disenaraikan oleh Bank Dunia, termasuk mengukuhkan akses kepada kredit menerusi Akta Syarikat 2016 yang baharu dan mewujudkan satu pendaftaran secara kolateral dan moden. 

“Bank Dunia turut memuji (langkah) Malaysia mengukuhkan perlindungan minoriti dengan menetapkan ketelusan korporat yang lebih ketara dan meletakkan kita sebagai negara keempat terbaik bagi aspek perlindungan untuk pelabur minoriti.

“Menurut Bank Dunia, kita juga telah mempertingkatkan kemudahan infrastruktur di Pelabuhan Klang yang dapat melancarkan proses kendalian di terminal serta memudahkan proses import dan eksport,” katanya.

Mustapa berkata, MITI juga mengambil maklum mengenai ruang untuk penambahbaikan se­perti dinyatakan oleh Bank Dunia, mi­salnya di bawah petunjuk ‘Memulakan Perniagaan’ yang menyaksikan Akta Syarikat 1965 dirombak sepenuhnya pada tahun lepas.
“Kita telah bertindak memansuhkan beberapa ketetapan yang menyukarkan proses penggabu­ngan sebelum ini, khususnya bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, be­liau mengingkatkan, walaupun skor itu mencatat peningkatan, na­mun penurunan sedikit dalam senarai itu sebaliknya memaparkan kejayaan negara lain me­laksanakan pembaharuan lebih mendalam dan pada kadar lebih pantas.– BERNAMA