Malaysia dilihat sebagai negara berdaya saing di segi kos, kata akhbar harian perniagaan Business Standard.

Antara nama syarikat besar yang sudah melabur di Malaysia ialah Ranbaxy, Cipla, Dr. Reddy's Labs, Biocon dan Strides Arcolab dan akan diikuti tidak lama lagi oleh syarikat-syarikat lain.

Malaysia menarik syarikat India kerana menawarkan pengecualian cukai 10 tahun, pengecualian duti, insentif khusus bagi pelaburan besar, akses ke pasaran ASEAN melalui perjanjian perdagangan bebas dan tiada halangan ekuiti.

Insentif sedemikian dan infrastruktur yang boleh dipercayai, menggalakkan syarikat pengeluar ubat-ubatan India untuk mengambil langkah itu, apabila pasaran baharu muncul dan menjanjikan pulangan yang lumayan, kata akhbar itu.

Ranbaxy - salah satu pelabur awal India di Malaysia yang mempunyai satu kemudahan kilang melalui anak syarikat, Ranbaxy Malaysia Sdn. Bhd. - kini sedang berusaha membina kilang kedua.

Baru-baru ini, syarikat itu meluluskan penubuhan kilang kedua di Malaysia dengan pelaburan AS$40 juta (RM120 juta).

"Kami percaya bahawa Malaysia menjanjikan pulangan yang lumayan dan kini sedang mengkaji potensi pelan untuk menubuhkan kemudahan pengeluaran kedua di negara itu," kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Ranbaxy, Arun Sawhney.

"Kemudahan baharu itu akan meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran kami dan sebagai tambahan untuk menampung permintaan di pasaran tempatan, serta untuk dibangunkan sebagai hab bagi ASEAN," katanya, sambil menyatakan kerajaan Malaysia menyediakan perubatan percuma di kesemua hospital dan polikliniknya bagi ubat baharu dan generik.

Sebaik tempoh paten tamat, wujud kecenderungan untuk menukarkan ubat baharu kepada ubat generik.

"Kerajaan Malaysia akan menyediakan iklim yang baik kepada industri farmaseutikal generik," katanya.

Biocon dan Strides Arcolabs telah mengumumkan pelaburan di Malaysia sejak enam bulan lepas.

Biocon akan membina kemudahan seberang lautnya yang pertama di Malaysia, manakala Strides telah menandatangani perjanjian dengan Bio-XCell Malaysia untuk membina kemudahan pengeluaran biofarmaseutikal dan bahan suntikan steril.

Biocon mendakwa bahawa cadangan kemudahannya di Malaysia akan merupakan unit pengeluaran insulin bersepadu terbesar di Asia.

Lupin menyasarkan Malaysia pasaran yang diutamakan bagi masa depan.

"Lupin adalah pembekal ubat antibatuk kering terbesar di negara ini dan kami akan turut meningkatkan kehadiran di dalam segmen terapi yang lain," kata Ketua Pegawai Kewangannya, Ramesh Swaminathan. - BERNAMA