Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, daripada jumlah tersebut sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 61.4 peratus atau RM121 bilion diikuti pembuatan (RM63.7 bilion) dan sektor utama (RM12.4 bilion).

Beliau berkata, daripada jumlah itu juga, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 72.2 peratus atau RM142.4 bilion, manakala pelaburan langsung asing­ (FDI) menyumbang sebanyak RM54.7 bilion atau 27.8 peratus.

Beliau berkata, walaupun prestasi pelaburan keseluruhan turun sebanyak 7.4 peratus berikutan pelaburan yang diluluskan bagi sektor perkhidmatan merosot sebanyak 17.2 peratus, ia telah diimbangi oleh sektor perkila­ngan dan sektor utama yang masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus dan 51.2 peratus.

“Aspek kualitatif pelaburan yang dibawa masuk ke Malaysia pada tahun lalu dapat dilihat secara jelas dalam pelbagai sudut seperti peluang pekerjaan dan perniagaan serta pemindahan teknologi.

“Selain itu Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan pelabur dengan jumlah pelaburan yang diluluskan dalam bidang pembuatan naik 8.9 peratus kepada RM63.7 bilion berbanding tahun 2016,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan Laporan Prestasi Pelaburan Malaysia 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong, dan Datuk Ahmad Mas­lan serta Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tan Sri Amirsham A. Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud.

Tambah Mustapa, produk petroleum termasuk petrokimia dan gas asli mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi sebanyak RM26 bilion diikuti elektrik dan elektronik (RM9.7 bilion); mineral bukan logam (RM7.7 bi­lion); kelengkapan pengangkutan (RM4.8 bilion).

Beliau berkata, selain itu Johor merupakan negeri dengan jumlah pelaburan yang diluluskan ter­tinggi iaitu sebanyak RM21.9 bi­lion diikuti Pulau Pinang (RM10.8 bilion); Sarawak (RM10.5 bilion); Selangor (RM5.6 bilion) dan Me­laka sebanyak RM4.7 bilion.

“Lima negeri ini menyumbang 84 peratus kepada jumlah pelaburan yang diluluskan bagi tahun 2017 dan pada tahun ini MIDA akan bekerjasama dengan setiap agensi negeri dalam program Invest Series untuk mempromosikan kelebihan unik dan kompetetif bagi menarik lebih banyak pelabur ke setiap negeri di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu Azman berkata, MIDA menyasarkan jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun ini sebanyak RM200 bilion.

Katanya, daripada jumlah itu RM80 bilion daripadanya telah dikenal pasti.