Sumber industri memberitahu, PSA Group yang mengeluarkan kereta Peugeot dan Citroen, me­rancang untuk membuka pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) Asia.

Ini bermakna jika mereka dapat bekerjasama dengan Proton, Malaysia sudah pasti mendapat manfaat dengan menjadi pusat R&D Asia PSA.

Oleh itu, usaha sama dengan rakan kongsi strategik asing akan membolehkan pengeluar kereta nasional itu berkembang ke pe­ringkat global.

Ketika ini, sebagai syarikat yang berdiri sendiri dan tidak menggunakan sepenuhnya kapasiti pengeluaran bagi dua kilang­nya, sumber itu berkata, adalah mustahil untuk Proton mencapai ekonomi skala besar bagi ber­saing dalam pasaran global.

Proton memerlukan kepaka­r­an serta dana untuk program R&D bagi membolehkannya ber­saing dengan jenama kereta glo­bal sama ada di dalam negara atau seberang laut kerana ia masih berada di peringkat bawah dalam teknologi automotif tempatan.

Ini kerana kos R&D boleh mencecah berbilion ringgit dan Proton tidak mampu untuk me­laksanakannya secara sendirian.

Sebagai contoh, kos pemba­ngunan hanya satu model, Proton Iriz bernilai RM600 juta dan ini tidak termasuk pemasaran, pengedaran dan kos lain yang berkaitan.

Untuk mendapatkan kembali kos pembangunan sebanyak RM600 juta itu, iaitu kira-kira RM60,000 seunit, Proton perlu menjual 10,000 kereta Iriz, kata sumber tersebut.

Penggiat lain dalam industri seperti Honda dan Toyota, mampu untuk menyebarkan kos mereka kepada berjuta-juta kereta kerana kereta mereka dijual di seluruh dunia.

“Oleh itu, kos berkenaan disebarkan dengan jumlah yang tinggi di banyak negara,” kata sumber berkenaan.

Awal minggu ini, Geely Automobile Holdings Ltd. dari China berkata, ia bersedia berkongsi kepakaran yang dibangunkan secara bersama dengan kereta Volvo, iaitu anak syarikat Swedennya, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menguasai Proton.

Selain itu, Volvo milik Geely di Malaysia telah memperoleh status kenderaan cekap tenaga (EEV) untuk modelnya yang dilengkapkan dengan enjin Drive-E tahun lepas.

Sumber itu berkata, adalah jelas untuk Proton menjalin usaha sama dengan rakan kongsi strategik asing jika ia ingin berjaya.

“Satu cara untuk melakukannya ialah dengan bekerjasama dengan syarikat auto besar, di mana setakat 15 Februari lepas, satu daripadanya telah menye­rahkan bidaan mereka kepada Proton untuk menjalin hubungan jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, katanya.

Seorang penganalisis kereta menyebut bagaimana Proton masih menghasilkan kereta dengan enjin Euro 4 yang menjadikannya mustahil untuk menjualnya di United Kingdom kerana pasaran Eropah hanya mahukan kereta berenjin standard pelepasan asap Euro 6.

Bagaimanapun rakan kongsi asing boleh membantu dalam pengeluaran enjin baharu melalui reka bentuk dan teknologi baharu yang diterima di pasaran maju.

Sehubungan itu, usaha me­nembusi pasaran maju yang akan meningkatkan pengeluaran di semua kemudahan pengeluarannya sudah tentu akan berjaya memulihkan Proton.

Menyedari hal ini dan keperluan untuk berkembang ke pe­ringkat global, konglomerat kereta DRB-Hicom sentiasa berusaha mendapatkan rakan kongsi strategik asing sejak mengambil alih Proton pada Mac 2012. – BERNAMA