Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, adalah menjadi hasrat dan matlamat Malaysia yang akan menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini untuk memuktamadkan rundingan tersebut.

Bagaimanapun kata beliau, terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditangani untuk mencapai hasrat tersebut memandangkan RCEP membabitkan 16 buah negara yang memiliki tahap pembangunan berbeza.

“Bukan sahaja dalam perkara ini (RCEP), malah dalam rundingan bilateral juga wujud cabaran dan kadang-kadang mengambil masa untuk dimuktamadkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini. Yang turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Naimun Ashakli Mohammad.

RCEP merupakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) membabitkan negara anggota ASEAN dan enam negara rakan dagangnya iaitu China, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Australia. Kerjasama itu secara rasmi dimulakan pada November 2012 semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Kemboja.

RCEP meliputi pelbagai aspek termasuk perdagangan dan pelaburan membabitkan kepentingan ASEAN+6 dengan penduduk seramai tiga bilion orang dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$17 trilion (RM59.5 trilion).

Mustapa yang dalam misi pelaburan dan perdagangan ke negara ini dalam pada itu percaya, ASEAN dengan penduduk lebih 600 juta orang, merupakan rantau yang dinamik dan menarik kepada para pelabur lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang akhir tahun ini.

“Secara purata ASEAN mencatatkan pertumbuhan antara 5-6 tahun, manakala negara CLMV (Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam) pula berkembang antara 8-9 peratus.

“Dengan potensi yang semakin berkembang, kami percaya ASEAN akan menjadi pemain ekonomi yang penting pada tahun 2020,” katanya.

ASEAN dan India telah pun mempunyai FTA dalam sektor barangan, sementara dalam dagangan dan pelaburan dijangka bermula 1 Julai ini.

India dan ASEAN menyasarkan jumlah dagangan sebanyak AS$100 bilion (RM350 bilion) menjelang tahun ini.

Sementara itu, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menyifatkan India kekal sebagai pasaran yang menarik untuk pelaburannya pada jangka masa panjang, kata Pengarah Pelaburannya di India, Babar Ali Khan.

Menurutnya, Khazanah telah berada di India sejak tahun 2005, sentiasa meninjau peluang-peluang pelaburan yang sesuai di sini.

Antara pelaburan langsung dan tidak langsung Khazanah di India ialah Hospital Apollo dan Lapangan terbang Hyderabad. Khazanah dikatakan turut mempunyai pelaburan dalam sektor farmaseutikal dan konsumer. – UTUSAN