Pembinaan STS itu membabitkan kerjasama antara syarikat tempatan milik bumiputera, KA Petra Sdn. Bhd. dengan syarikat perkapalan terbesar dunia berpangkalan di Hong Kong, Hutchinson Port Holdings Limited.

Kos projek itu dianggarkan berjumlah antara AS$150 juta hingga AS$180 juta (RM612. 60 juta hingga RM735.10 juta) yang akan dibiayai menggunakan dana dalaman dan pinjaman.

 

Pembinaan projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan jangkaan pelaksa­naan awal dalam tempoh 12 bulan.

Di bawah perjanjian yang ditandatangani hari ini, KA Petra memegang kepentingan sebanyak 70 peratus dalam projek itu, manakala Hutchinson memegang baki 30 peratus.

Dalam perjanjian itu KA Petra diwakili Pengerusi Eksekutif­nya, Datuk Shahrul Amirul, manakala Hutchinson diwaki­li Pengarah Urusan Kumpulan, Eric Ip.

Majlis menandatangani perjanjian disaksikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Bercakap dalam sidang akhbar kemudiannya, Dr. Mahathir menyifatkan projek itu akan menguntungkan Malaysia.

“Ini satu projek yang akan menguntungkan Malaysia. Saya tak fikir ada orang yang nak rugikan Malaysia dengan memihak kepada orang lain,” katanya.

Sementara itu, Shahrul berkata, projek tersebut dijangka menjana RM18 bilion atau 1.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“ Hab STS akan menarik pulang tenaga mahir Malaysia di luar negara, selain menyediakan latihan dan kemahiran tinggi dalam industri maritim,” katanya.

Jelasnya, idea pembinaan hab itu telah wujud dua tahun lalu sebagai penyelesaian kepada permintaan pemindahan STS yang semakin berkembang.

Projek itu membabitkan pembinan STS dalam kawasan seluas 3,000 ekar yang boleh memuatkan sembilan buah kapal dalam satu-satu masa.

Dalam pada itu, Ip berkata, pihaknya teruja untuk turut serta dalam projek berkenaan yang akan memberi impak positif kepada sektor marin di Malaysia dan rantau ASEAN.

“Dengan rangkaian pelabuhan global, kami yakin hab STS ini akan memberi banyak kele­bihan kepada para pelanggan kami. Ini merupakan satu daripada penglibatan bernilai kami sebagai rakan strategik kepada KA Petra dalam membina hab STS terbesar dunia di Malaysia,” katanya.