Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan Iot Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari berkata, pihaknya yakin sasaran tersebut dapat dicapai berdasarkan prestasi semasa industri automotif, sama seperti penganjuran tahun lalu.

Beliau berkata, sebanyak 350,000 pengunjung dijangka akan memeriahkan pameran yang memberi tumpuan kepada perkembangan industri automotif serta melibatkan kenderaan dengan teknologi terkini itu.

“Pameran kali ini akan melibatkan hampir semua jenama automotif dengan lebih 100 buah kereta termasuk pelbagai model baharu yang akan memacu jualan lebih tinggi selain kereta-kereta yang diubahsuai untuk menarik kehadiran pengunjung.

“Pada tahun lalu kita berjaya meraih jualan sebanyak RM250 juta dan tahun ini dijangkakan jumlahnya sama atau lebih tinggi. Dengan prestasi semasa saya yakin sasaran itu dapat dicapai,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Madani, objektif utama MARii dalam penganjuran kali ini adalah memperkenalkan teknologi dan inovasi-inovasi baharu kenderaan sekaligus meningkatkan lagi perkembangan industri automotif di negara ini.

“Pelbagai acara menarik menanti pengunjung Malaysia Autoshow 2019, kita akan mengadakan pameran dalaman dan luaran. Pengunjung juga berpeluang untuk memandu sendiri pelbagai jenis model kereta baharu di pameran ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, bersempena dengan pameran ini juga, pengunjung berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah berupa kereta Perodua Bezza, Myvi, Kia Picanto dan skuter yang bernilai kira-kira RM250,000.

“Tiket untuk memasuki Malaysia Autoshow 2019 berharga RM20 sekiranya dibeli di kaunter semasa pameran berlangsung namun, mereka mempunyai pilihan lebih menarik iaitu tiket berharga RM10 jika membeli secara dalam talian sebelum pameran berlangsung,” katanya. - UTUSAN ONLINE