Berdasarkan laporan Buku Tahunan Keberdayasaingan Dunia (WCY) 2017 yang diterbitkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) berpusat di Switzerland, Malaysia tahun ini berada di tangga ke-24 daripada keseluruhan 63 buah negara berbanding tahun lalu di tangga ke-19 daripada 61 buah negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya akan menubuhkan pasukan petugas terdiri daripada wakil-wakil sektor awam dan swasta untuk bertindak terhadap bidang-bidang utama yang memerlukan penambahbaikan berikutan kedudukan Malaysia yang menurun dalam laporan ber­kenaan.

“Dalam konteks ini juga, semua pihak perlu bekerja keras untuk meningkatkan kedudukan Malaysia pada tahun hadapan. Setakat ini, kita menunjukkan momentum yang baik pada 2017 tetapi kita tidak boleh terlalu selesa. Usaha ini perlu untuk meningkatkan persekitaran pelaburan Malaysia dan melaksanakan dasar yang boleh meningkatkan dagangan, mengurangkan beban pengawalseliaan dan mengukuhkan keupayaan teknologi negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kalangan 32 buah negara dengan pendapatan per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih daripada AS$20,000 (RM85,540), Malaysia berada pada kedudukan kedua manakala bagi populasi melebihi 20 juta, negara di tangga kelapan berbanding ketujuh tahun lalu melibatkan 29 buah negara.

Bagi rantau Asia Pasifik, Malaysia berada di kedudukan ketujuh berbanding keenam tahun lalu manakala kekal di tangga kedua selepas Singapura bagi rantau ASEAN.

Di peringkat faktor, Malaysia menduduki tangga ke-13 bagi pres­tasi ekonomi, kecekapan kerajaan (tangga ke-25), kecekapan perniagaan (tangga ke-19) dan infrastruktur (tangga ke-32).

Terdahulu, Mustapa melancarkan Laporan Produktiviti 2016/2017 yang diterbitkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Yang turut hadir, Pengerusi MPC, Tan Sri Azman Hashim dan Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd. Razali Hussain.

Berdasarkan laporan itu, Malaysia mencatat pertumbuhan produktiviti buruh 3.5 peratus pada RM78,218 pada 2016 berbanding RM75,548 tahun sebelumnya, dengan peningkatan purata tahunan dua peratus dalam tempoh lima tahun.

Laporan tersebut turut me­nunjukkan sektor pembuatan menyumbang paling banyak kepada tahap produktiviti iaitu RM106,647 dengan pertumbuhan 1.4 peratus diikuti sektor perkhidmatan (RM68,166; 2.8 peratus) dan sektor pertanian (RM55,485; 3.4 peratus).