Menurut Malaysia Airports, ia juga boleh dibuat jika syarikat penerbangan tersebut berterusan mengeluarkan kenyataan yang salah, tidak tepat dan mengelirukan.

Jelasnya, AirAsia telah bertindak melampaui batasan dengan menerbitkan kenyataan tersebut melalui media bertujuan menjejaskan reputasi Malaysia Airports.

“Sehubungan itu, Malaysia Airports tidak mempunyai pilihan selain mengeluarkan surat tuntutan 
bagi melindungi kepentingan sendiri. Kami kekal dengan pendirian bahawa pertikaian dan perkara-perkara yang berkaitan perlu dibawa ke mahkamah untuk diadili.

“Pihak-pihak yang terlibat juga perlu membiarkan perkara ini diselesaikan oleh mahkamah. Oleh itu, tidak ada keperluan bagi AirAsia untuk membuat kenyataan negatif terhadap Malaysia Airports,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Malaysia Airports hari ini mengeluarkan dan menyampaikan surat tuntutan kepada AirAsia Berhad serta AirAsia X Berhad terhadap Ketua Pegawai Eksekutif masing-masing, Riad Asmat dan Benyamin Ismail untuk menarik balik penyiaran artikel yang tidak tepat dan mengelirukan itu.

“Artikel-artikel berkenaan disiarkan melalui portal dalam talian milik syarikat penerbangan 
tambang rendah itu,” katanya.

Malaysia Airports berkata, pihaknya menuntut AirAsia untuk memadam artikel-artikel berkenaan dengan segera dan berhenti daripada membuat sebarang kenyataan yang salah, tidak tepat dan mengelirukan.

“Kami tidak mempunyai masalah dengan AirAsia, dan telah memaklumkan kepada pemegang-pemegang saham tentang kemajuan dan status tuntutan mahkamah dibuat mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Kami hanya beri maklum balas
 

 

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia menegaskan pihaknya hanya memberi maklum balas kepada saman yang difailkan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) menerusi portal dalam talian miliknya. 

Dalam kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, laman newsroom.airasia.com itu menyediakan berita dan maklumat yang tepat dan terkini kepada media dan wartawan seluruh dunia dan ia berfungsi sebagai sumber utama komunikasi berkaitan dengan isu semasa termasuklah penjelasan mengenai tuntutan yang dibuat AirAsia di media.

Beliau berkata, AirAsia akan memanfaatkan semua jalan bagi mempertahankan diri terhadap segala tindakan sama ada melalui mediasi dan timbang tara yang diperlukan oleh undang-undang atau di mahkamah sebagaimana yang dituntut MAHB.

“Walau bagaimanapun, kami berpegang pada apa yang telah kami katakan bahawa tindakan undang-undang semasa adalah tidak wajar.

“Kami telah menawarkan mediasi seperti yang dikehendaki di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) untuk menyelesaikan semua isu yang belum dijelaskan, bagaimanapun MAHB menolaknya.

“Prosedur mahkamah hanya akan memberi kesan negatif terhadap ekonomi dan industri penerbangan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

AirAsia hari ini memaklumkan pihaknya telah menerima surat tuntutan daripada MAHB untuk menarik balik penyiaran artikel yang tidak tepat dan mengelirukan 
di portal dalam talian syarikat penerbangan itu.

AirAsia berkata, pihaknya tidak terkejut dengan respon undang-undang yang diberikan MAHB ke atas kenyataan akhbar yang dikeluarkan malah hairan pengendali lapangan terbang itu terus menggunakan kedudukan dominannya dengan ancaman tindakan undang-undang untuk menyekat komen yang adil.