Menurut agensi penarafan antarabangsa, Moody Investors Service, akses ke pasaran baharu berkenaan akan memberi pelbagai manfaat kepada negara ter­utama buat peng­eks­port minyak sawit, getah dan elektronik.

“Keuntungan ekonomi bagi ahli-ahli CPTPP adalah lebih kecil tanpa penyertaan Amerika Syarikat (AS), namun perjanjian perdagangan akan tetap meningkatkan eksport dan pendapatan semua negara yang terlibat dan membantu kemapanan usaha pembaharuan di beberapa negara.

“Berbanding Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), peluang perdaga­ngan yang hilang akan dirasai paling banyak oleh Vietnam, Malaysia dan Jepun kerana negara-negara itu mendapat manfaat daripada akses pasaran AS yang lebih besar berdasarkan kepada skop perjanjian perdagangan semasa,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, baki 11 negara anggota TPP tanpa AS menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) baharu dikenali sebagai CPTPP di Santiago, Chile.

Sebanyak 11 negara tersebut adalah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Moody memberitahu, disebabkan halangan dagangan dan bukan dagangan yang lebih rendah di bawah CPTPP dan bersyarat atas pembaharuan khusus negara, perjanjian itu akan membantu mengekalkan pembaharuan domestik.

“Usaha pembaharuan yang berte­rusan seharusnya meningkatkan daya saing dan pelaburan, serta mengukuhkan kualiti institusi dari semasa ke semasa bagi negara anggota.

“Malah, manfaat akan menjadi lebih besar bagi pemerintah berdaulat dengan nilai tadbir urus dan daya saing yang agak rendah seperti Peru, Vietnam, Mexico dan Brunei,” jelasnya.

Menurut Moody, selain itu, negara ekonomi Asia lain yang telah menyatakan minat untuk menyertai perjanjian berkenaan termasuk Indonesia, Korea, Filipina, Taiwan dan Thailand.

“Berdasarkan anggaran Peterson Institute for International Econo­mics, pendapatan sebenar bagi negara anggota akan jauh lebih besar berbanding CPTPP semasa, malah lebih tinggi daripada perjanjian TPP asal jika negara-negara ini menyertai perjanjian,” katanya.