Di bawah pelan tersebut, Fernandes yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, berhasrat menyatukan kesemua unit di Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Walaupun berharap ia dapat direalisasikan dalam tempoh tersebut, beliau menyedari banyak lagi tugas yang perlu dilakukan terutama membabitkan dasar dan polisi kerajaan di setiap negara terbabit.

Untuk membolehkan impian itu menjadi kenyataan, AirAsia perlu menyenaraikan dua syarikat bersekutunya iaitu AirAsia Indonesia dan AirAsia Filipina. Setakat ini hanya AirAsia Malaysia dan AirAsia Thailand yang sudah disenaraikan.

“Struktur korporat bagi pembentukan syarikat ini masih memerlukan banyak usaha, antaranya perbincangan dengan kerajaan untuk menukar peraturan pemilikan (bagi syarikat bersekutu AirAsia) di negara berkenaan.

“Pada satu ketika, saya melihat idea ini semakin kelam, kemudiannya ada cahaya di hujung terowong. Walaupun ia baru sahaja bermula, saya yakin ada harapan di situ dan berharap ia dapat direalisasikan dalam tempoh dua tahun ini.

“Ya, kami baru 16 tahun tetapi AirAsia telah terbang ke destinasi yang tidak pernah sesiapa lakukan dan ini adalah sesuatu yang akan terus kami lakukan supaya bukan sahaja dapat menghubungkan semua orang tetapi menjadikan ASEAN pasaran yang menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan laluan terus Kuala Lumpur ke Davao, Filipina sempena Persidangan Pelaburan Davao 2017 (ICON 2017) di sini kelmarin.

Di bawah pelan tersebut, semua syarikat bersekutu AirAsia di Asia Tenggara akan membentuk satu komuniti di bawah syarikat penerbangan pegangan tunggal sekali gus muncul jenama yang kukuh di rantau ini.

Langkah itu dijangka meningkatkan hasil dan membantu AirAsia mengukuhkan kedudukan di negara yang mempunyai operasinya.

Menurut Fernandes, pihaknya optimis dengan perniagaan di Indonesia dan Filipina dengan kedua-duanya amat penting kepada pertumbuhan kumpulan.

“Apabila kami melihat semula dasar kerajaan di Filipina dengan pasaran lebih terbuka, ia adalah waktu yang tepat untuk memulakan tawaran awam permulaan (IPO) dan seterusnya berkembang dengan lebih luas lagi.

“Untuk itu, bagi AirAsia Filipina kami berharap dapat menyenaraikannya hujung tahun ini atau awal suku pertama 2018,” katanya. - UTUSAN