Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Datuk Ho Ho Sang berkata, ini memberi keyakinan kepada Mah Sing untuk menawarkan lebih banyak rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat dan juga memenuhi aspirasi kerajaan.

Menurut beliau, hala tuju syarikat sejak 2015 adalah membina rumah dengan harga berpatutan bagi memenuhi keperluan setiap lapisan masyarakat di negara ini.

“Mah Sing akan melancarkan tujuh lagi projek menjelang hujung tahun ini dengan empat di Lembah Klang, dua di Pulau Pinang dan satu projek di Johor.

“Tetapi dalam usaha menawarkan kediaman mampu milik ini, ia juga bergantung kepada kedudukan lokasi dan kehendak pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Bagi separuh pertama tahun ini, kumpulan telah mencatat jualan sebanyak RM819.3 juta dan akan melancarkan hartanah bernilai di bawah RM500,000 sepanjang separuh kedua tahun ini bagi memenuhi permintaan pasaran.

Sehingga suku kedua berakhir 30 Jun 2017, kumpulan mencatat keuntungan bersih sebanyak RM90.39 juta, meningkat 1.8 peratus berbanding RM88.82 bagi tempoh sama 2016 disebabkan kos jualan yang rendah dan per­belanjaan cukai pendapatan.

Mah Sing mempunyai bank tanah seluas 883.4 hektar di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor. Kumpulan mempunyai GDV dan jualan belum direkodkan berjumlah RM29.5 bilion yang boleh bertahan sehingga lapan tahun akan datang.

Sepanjang tahun ini sahaja, kumpulan telah membeli tanah di Lembah Klang dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang dengan GDV berjumlah RM4.3 bilion.

Ho Sang memberitahu, projek yang akan dilancarkan hujung tahun ini termasuklah empat projek di Lembah Klang iaitu Southville City yang menawarkan 965 buah berharga daripada RM400,000 sebuah; M Aruna di Rawang (565 buah kediaman bertanah daripada RM550,000); M Vertica di Cheras (3,681 buah kediaman daripada RM450,000) dan M Centura di Sentul (berharga daripada RM328,000).

Selain itu katanya, ia juga melibatkan fasa kedua projek Meridin East, Pasir Gudang di Johor yang mempunyai 130 buah berharga daripada RM499,000 diikuti dua projek di Pulau Pinang iaitu M Vista yang menawarkan 237 buah berharga daripada RM330,000 dan Bukit Mertajam Business Park dengan GDV RM150 juta.