MOHD. IRWAN SERIGAR ABDULLAH

Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Pengerusi MaGIC,Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, MasSIVE bertujuan merealisasikan aspirasi di bawah Pelan Tindakan Perniagaan Sosial, mendorong perubahan menyeluruh dalam sektor tersebut di peringkat tempatan, mencipta ekosistem yang mampu menjadi pemangkin serta mendukung gerakan perniagaan berpandukan impak (IDE) di rantau ini.

Katanya, MaGIC bekerjasama dengan Impact4Humanity, iM4U, myHarapan, Agensi Inovasi Malaysia (AIM), Yayasan Hasanah, eFM, dan ngohub.asia sebagai perintis untuk menggerakan MasSIVE.

“MaGIC telah menjadi penggerak utama dalam usaha Malaysia untuk membangunkan ekosistem IDE yang sihat. Tiba masanya untuk kita mara selangkah lagi ke peringkat pertumbuhan seterusnya. Saya gembira melihat MaGIC bersama-sama rakan kongsinya memulakan penubuhan MasSIVE sekaligus menyediakan elemen yang kita perlukan untuk mendorong perubahan menyeluruh dalam sektor IDE,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Di peringkat serantau, MasSIVE akan memperkenalkan dan mengembangkan lagi inisiatif utama MaGIC iaitu IDEA ke negara ASEAN lain.

“Ini termasuk perolehan sosial dan program akreditasi, serta inisiatif lain yang mampu memupuk gerakan keusahawanan berpandukan im­pak di peringkat akar umbi.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Ashran Ghazi berkata, pelancaran inisiatif baharu MasSIVE Impact Day itu telah menghimpunkan lebih 800 individu dari sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dan orang awam bagi mengambil bahagian dalam pelbagai perun­dingan industri, perbincangan panel, serta sesi bimbingan dan latihan.