Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Maureen Ooi berkata, langkah pengembangan itu akan dibuat menerusi platform francais dan ia merupakan percubaan kali pertama syarikat untuk ‘mengantarabangsakan’ jenama tersebut.

“Buat masa ini, syarikat memberi tumpuan untuk membawa jenama Madam Kwan’s ke peringkat antarabangsa dan kita akan menggunakan medium francais.

“Sebelum ini, kita cuba mema­su­ki pasaran di Singapura tetapi cabarannya amat sukar dan kemudiannya mengambil keputusan untuk memberhentikan operasi di negara ber­kenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran buku biografi­nya bertajuk Madam Kwan: Her Untold Story And Beloved Recipes dan memperkenalkan Pes Kari Madam Kwan di sini hari ini.

Buku tersebut ditulis cucu pe­rempuannya, Catherine Foo yang menceritakan suka duka usahawan salon kecantikan itu melalui pelbagai cabaran dalam perniagaan sehingga beralih kepada perniagaan restoran yang berjaya.

Selain itu, buku tersebut juga menghimpunkan 25 resipi yang melambangkan latar belakang beliau yang berasal daripada keturunan Hakka, selain menu kege­maran Barat dan Malaysia.

Setakat ini Madam Kwan’s bertapak di pusat beli-belah utama di negara ini iaitu di Suria KLCC, Pavilion KL, Mid Valley Megamall, Bangsar Shopping Centre, One Utama Shopping Centre, Empire Shopping Gallery, Sunway Pyramid dan Genting Highlands Resort.

Menurut Maureen, pada suku pertama tahun hadapan, syarikat akan membuka satu lagi cawangan di pusat beli-belah baharu di Mont Kiara.

Katanya, selain langkah pe­ngembangan cawangan, pihaknya turut tertumpu kepada menaik taraf dua restoran di Suria KLCC dan Mid Valley untuk memberi lebih keselesaan kepada pelanggan.

“Di Mid Valley kami telah selesai kerja-kerja naik taraf dan akan dibuka pada 27 September ini manakala di Suria KLCC pula masih berjalan,” katanya.