MAB yang memulakan operasi sebagai syarikat penerbangan kebangsaan pada 1 September 2015 apabila Malaysian Airline System (MAS) dinyahsenarai da­ripada Bursa Malaysia pada 2014 dan kemudiannya berhenti beroperasi pada 31 Ogos 2015, kini merupakan sebuah rangkaian penerba­ngan sejak memper­ke­nalkan penerbangan komersial pertamanya pada 1947.

MAB (yang pada ketika itu MAS) telah muncul sebagai penyedia perkhidmatan penting da­lam menghubungkan Malaysia de­ngan dunia luar dan pada masa sama mengintegrasikan rakyat negara ini dan bangsa-bangsa di dunia.

Ia melambangkan kecemerla­ngan produk dan perkhidmatan selain sebagai platform memaparkan wajah Malaysia ke dunia luar dan membawa dunia luar ke Malaysia.

Masyarakat seluruh dunia me­ngenali hospitaliti Malaysia melalui syarikat penerbangan nasional itu dan sudah pasti­nya MAB ingin mengekalkan pengiktirafan itu sebagai ikon kebangsaan, pemacu ekonomi, bon do­mestik dan penghubung ke dunia luar sekali gus menjadikan kejayaan syarikat penerbangan nasional itu sebagai satu kepenti­ngan bagi kerajaan dan rakyat.

Sejak ditubuhkan sebagai sebuah entiti yang baharu, syarikat penerbangan itu mengambil langkah pemulihan secara komprehensif dan holistik dengan struktur kos dan operasi yang baharu serta tenaga kerja mengikut keperluan industri.

MAB yang merupakan sa­lah sebuah daripada syarikat penerba­ngan di bawah Kumpulan Malaysia Aviation (MAG) disasar men­capai keuntungan dan dise­naraikan semula di Bursa Malaysia sekitar 2018 dan 2019.

Sebagai syarikat pe­­nerbangan utama, MAB memiliki kelebihan ter­sendiri da­lam memastikan syarikat itu kekal di hati rakyat dengan menawarkan ca­ra terbaik untuk penerbangan sekitar Malaysia.

MAB yang juga salah sebuah syarikat pelaburan milik ­Khazanah Nasional Berhad me­rupakan an­tara syarikat penerbangan yang per­­nah memena­ngi kedua-dua penarafan Sky­trax sebagai syarikat penerbangan bertaraf lima bin­tang dan Kru Kabin Terbaik di Dunia (World’s 5-Star Airline dan Best Cabin Crew dari Skytrax).

MAB yang telah menerbangkan lebih 40,000 penumpang setiap hari amat dikenali sebagai satu jenama yang luar biasa yang mengekalkan tradisi dalam pemakaian kru, masakan dan keramahan kakitangannya.

Sebagai ahli Oneworld, MAB menawarkan pengalaman pe-nerbangan yang lebih baik dan lancar ke lebih daripada 1,000 destinasi di 150 negara terma­suk akses ke lebih 650 lapangan terbang di seluruh dunia, selain menawarkan sehingga 90 destinasi di seluruh Asia, Afrika, Amerika dan Asia Barat melalui perkongsian penerbangan de­ngan Emirates.

Terbaharu, MAB memulakan peluasan ke 11 laluan baharu bermula dari China, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.

Sehingga pertengahan tahun ini, MAB telah memulakan operasi ke Haikou, Wuhan, Fuzhou dan Nanjing di China sementara perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Chengdu dan Chongqing dijangka bermula pada suku ke empat 2017.

MAB juga akan memperkenalkan tiga penerbangan tambahan ke Seoul, Korea Selatan, sekali gus menjadikan kekerapan laluannya hingga sepuluh penerbangan seminggu berbanding tujuh sekarang.

Perancangan lain yang dirancang merangkumi penambahan operasi perkhidmatan, penerba­ngan malam dari Kuala Lumpur ke sektor Mumbai menggunakan pesawat Airbus 330 bagi menggantikan Boeing 737.

Tidak dinafikan, penubuhan MAB memberi sumbangan dan impak positif kepada pemba­ngunan negara termasuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

Kajian menunjukkan bahawa MAB menyumbang anggaran RM6.9 bilion kepada negara, membuktikan industri penerbangan menjadi salah satu pengganda ekonomi tertinggi dalam sebarang sektor berban­ding kebanyakan industri lain.

MAB yang mempunyai lebih 7,000 pekerja dan kumpulan MAG yang memiliki lebih 14,000 kakitangan secara keseluruhan telah memperkenalkan Majlis Kerja­­ ya­ng diwakili kakitangannya.

Majlis ini ditubuhkan sebagai platform untuk berkongsi maklumat tentang perniagaan serta meningkatkan kesedaran tentang isu-isu pekerja sekaligus membolehkan syarikat me­laksanakan perubahan de­ngan lebih pantas dan cekap.

MAB juga tidak ketinggalan terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui pelaksanaan program Giving From the Heart yang memberi peluang kepada kakitangan untuk membantu golo­ngan memerlukan.

Antara program di bawahnya adalah Projek Shoebox, yang me­ngajak penyertaan kakitangan dalam menyumbang kepada rumah anak yatim, rumah orang tua dan mereka yang kurang bernasib baik di sekitar kawasan Sepang, Puchong dan Nilai pada setiap musim perayaan melalui pembelian barangan keperluan. MAB turut bekerjasama dengan komuniti tempatan di Dengkil dan mengambil Kampung Orang Asli Kolam Air sebagai kampung angkat.

Kejayaan demi kejayaan dike­capi oleh MAB, dan segala pengiktirafan itu menjadi batu loncatan bagi syarikat itu untuk terus berusaha dan bersaing secara sihat dengan syarikat penerba­ngan lain sama ada di Malaysia atau dunia.

MAB dijangka memiliki lebih 100 pesawat pelbagai jenis de­ngan rangkaian operasi dijangka berkembang sehingga 60 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang. Produk dan perkhidmatan pastinya bertaraf kelas pertama.

Sempena kemerdekaan Malaysia ke-60 tahun ini, MAB akan te­rus bekerja keras demi mengembalikan kegemilangan jenama Malaysia Airlines seperti yang dirangka dalam Pelan Pemulihan MAS yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tiga tahun lalu.

Setiap hari MAB mengibarkan Jalur Gemilang ke serata dunia melalui lebih 300 penerbangan domestik dan antarabangsa.

Harapan syarikat penerba­ngan itu adalah untuk dikenali sebagai sebuah syarikat yang efisien dan jenama yang dipercayai, dihormati dan menjadi pilihan utama pelanggan.