Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata, berbanding cukai barang dan perkhidmatan (GST), SST akan menyebabkan kenaikan harga kebanyakan model kenderaan, sekali gus mengurangkan permintaan.

“SST pada 10 peratus, manakala GST pada enam peratus. Oleh itu, kebanyakan mo­del akan menyaksikan kenaikan harga.

“Bagi tempoh Jun hingga Ogos, terdapat banyak permintaan untuk mendaftarkan kenderaan berikutan harga le­bih rendah.

“Namun, dari September dan seterusnya, saya yakin akan lembap sedikit. Jika harga me­ningkat, ia akan memberi kesan kepada jualan,” katanya pada sidang media mengenai prestasi industri automotif di sini hari ini.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, TIV kende­raan baharu meningkat 1.8 pera­tus kepada 298,714 buah berban­ding 284,453 buah dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Prestasi semakin baik itu disumbangkan oleh segmen kenderaan penumpang yang meningkat sebanyak 2.1 peratus atau 5,295 buah, manakala segmen komersial mencatatkan penurunan yang amat kecil seba­nyak 0.1 atau 34 buah.

Aishah berkata, sehingga kini, jualan tertinggi kenderaan direkodkan pada Jun dengan TIV melonjak 50.1 peratus kepada 64,502 buah berbanding 42,983 buah pada Mei.

“Peningkatan yang tinggi ini berlaku kerana permintaan terhadap kenderaan meningkat selepas penurunan harga, de­ngan GST pada kadar sifar, selain promosi menarik Hari Raya dan tawaran oleh anggota MAA,” jelasnya.

Mengulas mengenai kerjasama Proton dengan Indonesia untuk menghasilkan kereta ASEAN, beliau berkata, pengeluar perlu memastikan model ken­deraan yang dihasilkan diterima oleh semua negara anggota.

“Penting untuk memastikan pengeluar kereta Indonesia menyokong idea model ASEAN bagi mengelak sebarang sekatan eksport oleh negara itu,” katanya.

Aishah juga percaya Malaysia ti­dak memerlukan kereta nasional lain memandangkan industri automotif tempatan telah membangun berbanding semasa Proton mula diperke­nalkan.

“Jika anda melihat negara ASEAN lain, tiada negara yang mempunyai kereta nasional tetapi Thailand dan Indonesia mencatat prestasi yang baik.

“Kita juga tidak mempunyai ekonomi bidangan. Industri kita hanya mempunyai 585,000 (TIV) dan untuk melaksanakan projek kereta nasional, kita perlu bekerjasama de­ngan pengeluar bertaraf dunia yang ingin melabur di Malaysia,” kata­nya. – BERNAMA