Kerajaan mengumumkan harga RON95 dan RON97 diturunkan sebanyak 23 sen menjadi RM1.93 dan RM2.23 seliter sementara diesel turun 14 sen menjadi RM2.04 seliter. Sebelum ini harga RON95, RON97 dan diesel, masing-ma­sing adalah RM2.20, RM2.50 dan RM2.18 seliter.

Penetapan harga runcit petroleum diselaraskan semula pada setiap minggu mengikut kaedah apungan terkawal sejajar dengan trend penurunan harga minyak ketika ini. Kaedah sama juga telah diguna pakai oleh kerajaan terdahulu, namun dinafikan keberkesanannya oleh Pakatan Harapan (PH) pada waktu itu.

Bagaimanapun, harapan rakyat untuk melihat kesan berganda daripada penurunan tersebut masih lagi samar apabila kebanyakan harga barang keperluan harian dilihat masih enggan berganjak tanpa me­nunjukkan tanda-tanda akan turun.

Bukan sahaja rakyat, malah pak menteri juga berharap harga minyak yang semakin murah mendorong penurunan harga barang dan kos sara hidup golongan marhain. Jika difikirkan secara logik akal harga barang akan turun apabila salah satu elemen kos berubah peniaga atau pemborong menjadi semakin murah.

Oleh itu, mengapa harga barang tidak turun? Kebanyakan peniaga dan pemborong memberi alasan penetapan harga adalah berdasarkan harga semasa, terdapatnya faktor penawaran dan permintaan serta kesukaran mendapatkan bekalan disebabkan oleh faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan seperti perubahan cuaca, musim dan sebagainya.

Rasanya rakyat boleh faham kalau kekurangan bekalan di­se­babkan faktor yang tidak dapat dielakkan menyebabkan harga naik. Yang peliknya mereka tidak pula membangkitkan kos penghantaran yang semakin murah. Adakah medium pe­ngangkutan yang digunakan untuk menghantar bekalan digerakkan oleh air atau gas asli?

Rakyat tidak pernah lupa situasi setiap kali harga mi­nyak naik dan menjadi semakin mahal, keesokannya juga harga barang naik. Memang cekap mereka menghidu peluang tanpa memberi seribu alasan untuk tidak berbuat demikian.

Niat murni kerajaan PH untuk membantu rakyat dalam menangani kenaikan kos sara hidup harus dipuji, tetapi biarlah ia memberi kesan yang positif dan mencapai tujuan asalnya. Kesan penurunan harga minyak perlu dipantau dan diperketat merentasi pelbagai kementerian dan agensi kerajaan terhadap kumpulan yang memainkan peranan penting dalam peletakan harga jualan.

1. Pemborong atau orang tengah

Pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kelompok ini perlu dipergiat kerana kebanyakan peniaga terpaksa meletakkan harga yang tinggi disebabkan kos logistik untuk penghantaran barang yang semakin mahal.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu menyemak kembali kenaikan harga dan kos penghantaran daripada pembekal dan pemborong. Golongan ini sudah menikmati penjimatan menerusi penurunan harga minyak tetapi masih lagi enggan menurunkan harga mereka.

2. Peniaga

Golongan ini cenderung memberi alasan pemborong atau orang tengah sebagai punca apabila terpaksa meletakkan harga jualan yang tinggi. Mungkin be­tul apa yang diperkatakan, tetapi bagaimana pula dengan peniaga yang membeli secara terus daripada pengeluar?

Sudah pasti mereka mendapatkan bekalan pada harga jauh lebih murah berbanding daripada orang tengah. Pihak berwajib perlu memantau dan mengenal pasti sumber bekalan supaya mereka tidak mengambil ke­sempatan terhadap situasi yang berlaku.

Bagi peniaga yang membeli pada harga semasa, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menjual dengan harga murah kerana boleh menyebabkan kerugian. Tetapi mereka boleh menjual dengan harga murah jika bekalan tersebut dibeli pada harga baharu yang lebih murah.

Penguatkuasaan yang lemah menyebabkan segelintir daripada golongan itu semakin berani yang akhirnya membebankan rakyat dan menyebabkan kitaran ekonomi menjadi tidak cekap. Alasan yang diberikan juga tidak kukuh dan hanya bersifat mempertahankan diri sendiri.

Belum pun sempat kesan penurunan harga petroleum dinikmati oleh rakyat, kerajaan PH sudah mengumumkan untuk menaikkan kadar tarif air secara berperingkat dengan alasan untuk menjaga kepentingan pengguna bagi mendapatkan air berkualiti.

Rakyat diberikan penjimatan dalam sektor lain sementara sektor lain membuatkan mereka terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih. Persoalannya, apa yang rakyat dapat? Manfaat apa yang rakyat terima? Siapakah yang untung?