Mustahil waris-warisnya akan terjebak dalam situasi itu sebab semua warisnya baik-baik belaka. Memanglah tiada ibu bapa yang akan mengaku dia tidak mendidik anak dengan sempurna. Tiada juga ibu bapa yang menjangkakan perkara buruk dilakukan anak-anaknya.

Memerhatikan tindak tanduk anak-anak, saya juga rasakan mustahil mereka akan berbalah merebut harta pusaka selepas saya mati nanti. Tambahan pula, anak-anak saya dari kecil selalu mengikut saya berce­ramah tentang harta pusaka.

Mereka telah didedahkan dengan ilmu faraid sejak kanak-kanak. Apabila dewasa sekarang, ada antara mereka bekerja pula di syarikat saya. Mereka tahu titik urusan harta pusaka kerana mereka melalui pengalaman real-life sekarang. Jadi, mustahil mereka akan berbalah merebut harta pusaka bila saya mati kelak. Memang mustahil.

KONSULTAN TAK BERTAULIAH

Tetapi, saya juga faham anak-anak saya satu hari nanti akan berumahtangga. Memang saya tahu bagaimana mendidik anak-anak tetapi tidak tahu bagaimana bakal menantu saya dibesarkan.

Saya tidak kenal bakal menantu saya sehinggalah kelak diperkenalkan. Boleh saja bakal menantu ini berlakon ‘pijak semut pun tak mati’ di depan saya, tetapi di belakang saya?

Dalam pengalaman saya, pasangan ialah antara faktor yang kuat mempengaruhi tindakan dan keputusan waris. Jika pasangan memilih untuk tidak campur tangan dan menyerahkan sepenuhnya kepada waris-waris untuk berbincang, maka mudahlah selesai urusan pusaka.

Sebaliknya, jika pasangan menjadi consultant tidak bertauliah yang ‘menegakkan keadilan’ dan ‘memperjuangkan hak’ dalam keadaan dia sendiri pun jahil tentang hukum harta pusaka dan proses undang-undang yang terlibat, maka makin rumitlah urusan pusaka.

Pengalaman ini saya sendiri lalui dalam membantu urusan pusaka. Pasangan bertindak lebih sudu dari kuah!

BAHANA TIADA DOKUMEN

Saya masih ingat antara kes yang saya temui beberapa tahun lepas. Si mati hanya meninggalkan sekeping tanah yang dibina rumah keluarga di atasnya dan sedikit wang simpanan.

Isterinya telah lama mening­gal dunia dan ada tiga orang anak perempuan dan seorang anak lelaki sebagai waris. Tiada apa-apa pesanan atau dokumen perancangan dibuat oleh si mati semasa hidupnya.

Dalam perbincangan tentang harta pusaka, suami kepada anak sulung yang sibuk menetapkan bagaimana harta pusaka bapa mertuanya perlu dibahagikan. Kononnya sebagai seorang ketua pegawai eksekutif (CEO), dialah yang paling pandai me­ngira ‘keadilan’ pembahagian.

Dia menetapkan rumah di kampung dan semua wang simpanan si mati bernilai RM500,000 diserahkan kepada isterinya sebagai balasan kewangan menjaga si mati sepanjang sakit dan terlantar di rumahnya.

Malah, dia menyenaraikan kesemua kos seperti perbelanjaan hospital, pengangkutan, perubatan, makan minum sehingga kos pembantu rumah­nya pun dibuat mengikut jam bagi tempoh masa pembantu rumahnya menjaga si mati.

Adik-adik lain merungut dan tidak berpuas hati tetapi tidak berani membangkang semasa perbincangan kerana karekter abang ipar Datuk CEO mereka yang keras.

Mereka sangkakan semua kos adalah sumbangan ikhlas abang ipar memandangkan dia berkemampuan dari segi kewangan berbanding mereka yang hidup sekadar cukup makan. Tidak sangka pula dia akan menuntut semula kos itu daripada harta pusaka ayah mereka.

MENANTU TIADA HAK

Bila dirujukkan kepada saya, jawapan saya ialah hak waris-waris mengikut hukum faraid adalah jelas. Apapun bentuk agi­han, hanya waris yang berhak memutuskan dan waris hanyalah tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki sahaja. Abang ipar datuk CEO tiada hak langsung membuat keputusan.

Jika ada kos yang dikeluarkan itu bersifat hutang kepada si mati, maka ia mestilah diakad dengan jelas sebagai hutang, sebaiknya didokumentasi dan disaksikan.

Contohnya, bagi belanja perubatan di hospital swasta, menantu kena sebut dengan jelas, “Ayah, saya bayarkan dulu bil hospital sebanyak RM60,000 ini dan ia adalah hutang ayah kepada saya ya.”

Akad itu pula sebaiknya disaksikan oleh waris-waris sendiri. Jika hutang diakad de­ngan jelas, maka ia wajib dibayar semula daripada harta pusaka si mati. Jika ia tidak jelas diakad sebagai hutang, maka ia boleh dipertikaikan waris.

Nilai harta pusaka RM500,000 itu adalah hak tiga anak perempuan sebanyak RM100,000 setiap seorang dan seorang anak lelaki sebanyak RM200,000. Jika semua waris-waris berpendirian mereka mahukan hak mereka mengikut hukum faraid, maka tuntutan abang ipar CEO tadi tidak membawa sebarang makna.

Apapun pastinya bila kea­daan ini berlaku, hubungan di antara waris-waris tadi akan terjejas. Rugi betul akibat harta, silaturrahim adik-beradik terputus.

Ariffin Sabirin adalah Pengasas Wasiyyah Shoppe Berhad