Jessica Chuang
Jessica Chuang

Pengarah Serantau bagi China, Asia Tenggara & India Hotels.com, Jessica Chuang berkata, menerusi data yang dikumpul oleh pihaknya sepanjang suku kedua tahun ini mendapati berlaku peningkatan ketara dalam minat pelancong tempatan ke destinasi seperti Macau dan London.

“Beberapa destinasi utama mencatatkan pertumbuhan dua angka dan ia seiring dengan pres­tasi kukuh mata wang ringgit, yang merupakan mata wang Asia dengan prestasi terbaik pada suku kedua tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, Macau meng­ungguli senarai destinasi pilihan rakyat Malaysia dengan pertumbuhan pencarian suku tahunan sebanyak 66.1 peratus pada suku kedua berbanding suku pertama tahun ini, diikuti Osaka (45.4 peratus), Seoul (44.7 peratus) dan Melbourne (29.4 peratus).

“Macau, Osaka dan Seoul adalah destinasi yang paling pantas berkembang bagi pelancong Malaysia pada suku kedua tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, bandar raya Bangkok dan Pattaya juga merupakan antara yang tersenarai sebagai antara 10 destinasi paling pantas berkembang bagi pelancong Malaysia pada suku kedua tahun ini.

“Bangkok juga disenaraikan oleh Indeks Harga Hotel (HPI) terbaharu Hotels.com sebagai destinasi luar negara paling popular bagi pelancong Malaysia pada 2016.

“Pengguna Malaysia umum­nya suka melancong, dan se­iring sentimen ekonomi tempatan yang semakin kukuh, Hotels.com sedia untuk menawarkan nilai lebih baik bagi mengukuhkan pengalaman kembara mereka,” katanya.

Hotels.com merupakan laman web tempahan penginapan dalam talian terkemuka yang menawarkan pelbagai pilihan kemudahan percutian serba lengkap untuk destinasi tempatan dan antarabangsa.

Aplikasi khas untuk te­lefon mudah alih dan tablet boleh dimu­at turun untuk memboleh­kan pelanggan mem­buat tem­pahan dan merebut peluang menikmati 20,000 tawaran istimewa yang diberikan.