Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, buat masa ini hanya dua peratus institusi kewangan tersenarai yang menawarkan saham patuh syariah di negara ini.

“Ketika ini 60 peratus daripada saham di Bursa Malaysia adalah patuh syariah tetapi dari segi pasaran modal, ada jurang yang sangat besar dari segi perkhidmatan kewangan yang hanya me­rangkumi dua peratus.

“Jadi, kami amat menggalakkan lebih banyak institusi kewangan Islam disenaraikan bagi menggalakkan penawaran saham islamik (i-share),” katanya selepas merasmikan Persidangan Tadbir Urus dan Jaminan Syariah PNB-Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad dan Ketua Pegawai Maybank Islamic Berhad, Datuk Mohamed Rafique Merican Mohd. Wahiduddin Merican.

Persidangan tersebut adalah kerjasama antara Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM, PNB dan Maybank Islamic bertujuan me­mbangunkan satu standard tadbir urus dan jaminan syariah bagi memenuhi kepentingan pematuhan syariah.

Sebelum ini, PNB dilaporkan bercadang untuk menukarkan kira-kira 20 peratus saham Maybank kepada saham Islamik atau i-shares menerusi mekanisme pengasing­an aset tanpa dikendalikan entiti berasingan.

Langkah itu sekiranya berjaya akan menyaksikan saham i-Maybank yang ditetapkan akan menjadi aset syariah bernilai kira-kira RM20 bilion.

PNB memiliki pegangan 48 peratus di dalam Maybank, kumpulan bank terbesar Malaysia yang merupakan bank keempat terbesar di ASEAN berdasarkan jumlah aset dan bank Islam kelima terbesar di dunia.

Sementara itu, Abdul Wahid memberitahu, PNB sudah memperoleh kelulusan ‘harus’ daripada Jawatankuasa Negeri Pulau Pinang bagi produk pelaburan di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dalam mesyua­ratnya yang diadakan 15 Ogos lalu.

Katanya, kelulusan terbaharu itu menandakan satu pencapaian kepada PNB dan menjadikan ke­semua negeri di Malaysia sudah memberi kelulusan tersebut selepas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berbuat demikian pada 27 April lalu.

“Masyarakat perlu mempunyai pemahaman yang jelas mengenai status dana-dana ASNB terutama ASB memandangkan ia dimani­pulasi oleh sesetengah pihak.

“Jadi, kita berharap dengan memperoleh kelulusan ‘harus’ daripada semua negeri di Malaysia, maka tidak timbul lagi keraguan dalam pelaburan di ASNB dan mengalu-alukan lebih banyak pelabur dari Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.