Menurut bank pusat itu, senarai tersebut menghimpunkan syarikat dan laman web yang tidak dibenarkan atau diluluskan di bawah undang-undang dan peraturan yang ditadbir oleh BNM.

Senarai berkenaan tidak menyeluruh dan hanya berfungsi sebagai panduan kepada orang awam berdasarkan maklumat dan pertanyaan yang diterima oleh BNM.

Setakat ini sebanyak 423 syarikat telah disenaraikan.

BNM tidak mengiktiraf wang kripto sebagai sah untuk diperlakukan, namun tidak melarang pelaburan mata wang kripto buat masa ini dan membiarkan pasaran yang menentukannya.

Semalam, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memaklumkan bahawa pemantauan sedang dilakukan terhadap maklumat sedia ada mengenai Lavida Coin bagi menentukan sama ada wujud sebarang perlanggaran undang-undang sekuriti.

Baru-baru ini, Datuk Seri Vida (DSV) dilaporkan memperkenalkan mata wang digital atau kripto dikenali Lavida Coin pada harga awal yang ditetapkan iaitu 1 LVC bersamaan AS$0.66 (RM2.71).

DSV juga mempelawa orang ramai yang berminat untuk membeli Lavida Coin serendah 30 unit Lavida Coin pada harga RM99 sehingga RM9,900 bagi 3,000 Lavida Coin.

Lavida Coin menyasarkan untuk mengumpul dana berjumlah AS$1.5 bilion (RM6.14 bilion) bagi membiayai tiga projek iaitu saluran hiburan dalam talian, platform pembayaran LavidaPay serta pembinaan hab komuniti Islam.

Transaksi bagi Lavida Coin dijalankan dalam Ringgit Malaysia, Dolar Singapura, Dolar Brunei dan Dolar Amerika Syarikat (AS). - UTUSAN ONLINE