Pengarah Urusan Lautan Variasi, Syed Nasir Hussin Syed Peer berkata, penggunaan sistem Very Small Aperture Terminal (VSAT) yang disediakan syarikatnya mampu menyelesaikan masalah penyambungan internet di seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar.

Melalui teknologi itu beliau memberi jaminan 100 peratus capaian internet berkelajuan tinggi selain penjimatan kos operasi dan pemasangan yang jauh lebih rendah berbanding teknologi yang digunakan sebelum ini.

“Lautan Variasi merupakan satu-satunya syarikat di Asia dan ketujuh di dunia pada ketika ini yang menawarkan perkhidmatan internet jalur lebar berteraskan teknologi satelit.

“Keberkesanan teknologi ini telah terbukti melalui dua projek Pembuktian Konsep (POC) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Putra, Sepang dan Sekolah Kebangsaan Baleh, di Sarawak pada tahun lalu.

“Kami berharap kerajaan dapat memberi peluang untuk kami membuktikan keupayaan sistem ini sekali gus melicinkan pelaksanaan 1BestariNet yang akan memberi manfaat kepada lebih enam juta pelajar di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Syed Nasier berkata, semasa pelaksanaan POC selama seminggu di SK Desa Putra, pihaknya mene­rima maklum balas positif daripada guru-guru dan pelajar apabila ke­semua komputer di makmal sekolah itu berjaya menerima akses internet.

“Kami turut menjemput wakil daripada Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menilai keberkesanan teknologi tersebut.

“Namun sehingga hari ini kami masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak kementerian mengenai perkara ini,” katanya.

Syed Nasier memberitahu, teknologi yang dibawa masuk ke negara ini dari Amerika Syarikat (AS) sejak tahun lalu itu berkemampuan menyediakan internet berkelajuan tinggi sehingga 100 megabait sesaat (mbps).

Bagaimanapun katanya, kelajuan internet yang diperlukan di sekolah hanya memadai dengan kapasiti kira-kira 10 mbps.

Antara kelebihan lain teknologi yang menggunakan sistem satelit Measat M5 itu adalah kestabilan yang tidak terjejas walau digunakan dalam kepadatan pengguna yang tinggi seperti yang sering berlaku pada teknologi jalur lebar konvensional.

“Teknologi ini sangat popular di Amerika Syarikat dan semakin mendapat sambutan di negara ini.

“Antara pelanggan kami adalah syarikat perladangan, minyak dan gas, hotel, resort yang berada di luar kawasan liputan jalur lebar dan syarikat-syarikat milik kerajaan negeri di Perak, Pahang, Terengganu dan Sabah,’’ katanya.