Penerbangan pertama syarikat itu bakal menjadikan AirAsia syarikat terbaharu yang akan beroperasi di LTAM selepas Malindo Air yang kini beroperasi di empat laluan iaitu Pulau Pinang, Langkawi, Kota Bharu dan Pekanbaru, Indonesia.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata,

pihaknya dimaklumkan tentang pelaksanaan laluan baharu itu daripada pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan pihak berkuasa penerbangan awam (CAAM), baru-baru ini.

“Penyertaan AirAsia di LTAM ini diharap dapat membantu kerajaan negeri menarik lebih ramai pelancong sekali gus merancakkan kempen Tahun Melawat Melaka 2019.

“Berikutan pembukaan beberapa laluan baharu membabitkan syarikat penerbangan Malindo Air dan AirAsia, kerajaan negeri tahun ini menyasarkan kehadiran sejumlah 75,000 penumpang menggunakan LTAM,” katanya.

Mohd. Sofi (PH-Durian Tunggal) berkata demikian ketika menjawab soalan Damian Yeo Shen Li (PH-Duyong) pada Persidangan Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Seri Negeri di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, AirAsia sebelum ini menyatakan hasrat untuk memulakan penerbangan menerusi LTAM ke Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Langkawi dan Pekanbaru dan dijangka akan dilaksanakan selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

“Bagaimanapun bermula 1 Julai, hanya laluan Melaka ke Pulau Pinang akan dilaksanakan oleh AirAsia dan kita harap ia dapat membantu pertumbuhan sektor pelancongan negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, LTAM juga diselenggara dengan berjadual dan selamat oleh pihak MAHB dan CAAM serta mendapat pensijilan

ISO 9001: 2015, ISO 14001: 2018 dan OSAS 18001 : 2007 iaitu mematuhi standard piawaian.

Ketika menjawab soalan tambahan Damien berhubung fasiliti yang boleh diperbaiki ketika pendaratan kecemasan di landasan pendek di LTAM, Mohd. Sofi berkata kerajaan memberi jaminan landasan selamat digunakan pesawat jenis Airbus A320.

“Sebelum LTAM diberi kebenaran untuk Malindo Air dan AirAsia beroperasi, kerajaan negeri sudah bersiap sedia dengan soalan itu.

“Jurutera AirAsia sendiri menyatakan keyakinan dan sudah melakukan ujian pendaratan bahawa mereka bersedia menggunakan pesawat jenis A320,” katanya. - UTUSAN ONLINE