Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat berkata, menerusi laluan baharu tersebut, AirAsia menawarkan kekerapan penerbangan sebanyak tiga kali pergi balik dalam tempoh seminggu antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, di Bangkok.

Menurutnya, pembukaan laluan baharu itu antara bukti komitmen AirAsia dalam mengembangkan hab di negeri ini khususnya dalam sektor pelancongan.

“Kami amat berbesar hati dan mengalu-alukan penerbangan sulung dari Bangkok ke Kota Kinabalu hari ini dan mengharapkan laluan ini akan memberi impak positif bukan sahaja kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri, tetapi kepada masyarakat Sabah secara keseluruhannya.

“Sepanjang tempoh itu, Air­Asia telah menerbangkan lebih 39 juta pelanggan dari dan ke bandar ini sekali gus menghubungkan Kota Kinabalu ke-18 destinasi di rantau ini menerusi 332 penerbangan secara mingguan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pelancaran Penerbangan Sulung AirAsia dari Bangkok-Kota Kinabalu di sini.

Terdahulu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi bersama delegasi yang menyertai penerbangan tersebut tiba di KKIA pada pukul 1.35 petang disambut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Christina Liew serta Ketua Komersial AirAsia, Spencer Lee.

Sementara itu, Mohamaddin berkata, pembukaan laluan baharu berkenaan dilihat mampu meningkatkan kerjasama terhadap akses udara bagi kedua-dua negara.

“Thailand adalah pasaran penting bagi Malaysia kerana ia berpotensi untuk dikembangkan menerusi beberapa produk utama yang menjadi tarikan di kedua-dua negara.

“Justeru, saya berharap agar pemain industri di kedua-dua negara ini dapat bekerjasama untuk mempromosikan produk pelancongan masing-masing dalam mengekalkan laluan ini pada masa akan datang,” katanya.