Penganalisis MIDF Research, Alan Lim berkata, pengeluaran minyak sawit akan menerima kesan secara berperingkat sekiranya hujan berlebihan di Malaysia dan Indonesia yang kebiasaannya akan mengakibatkan banjir.

Katanya, bagaimanapun pe­ngeluaran minyak kacang soya di Amerika Selatan turut akan terjejas teruk memandangkan La Nina menyebabkan kawasan tersebut kering ketika musim penanaman.

“Kesannya boleh berlaku sekitar Disember 2017 hingga Februari 2018, pada ketika kilang soya di Brazil memerlukan air paling banyak untuk mencapai peringkat reproduktif. Namun kami percaya harga minyak kacang soya akan mengukuh sekiranya La Nina tidak berlaku dalam tempoh berkenaan.

“Dalam masa sama, harga MSM juga dijangka meningkat sekitar RM2,900 hingga RM3,100 per tan metrik dengan mengambil kira kelemahan La Nina,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Semalam, Biro Cuaca Australia (ABM) mengaktifkan amaran berlakunya La Nina dengan peratusannya meningkat kepada 70 peratus berbanding 30 peratus sebelum ini yang dijangka melanda Lautan Pasifik akhir tahun ini.

Syarikat perladangan, Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) menyatakan feno­me­na La Nina tidak akan mem­beri kesan serius kepada pengeluar­an sawit.