Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias mendedahkan, sebagai antara pemegang saham terbesar dalam kedua-dua organisasi itu, KWSP bimbang pertelagahan itu akan mengundang impak buruk bukan sahaja kepada AirAsia dan MAHB, tetapi juga negara.

Katanya, AirAsia dan MAHB bukan sahaja merupakan antara dua kaunter saham terbesar tetapi juga ‘mewakili’ negara di mata dunia.

Jelas beliau, atas dasar itulah KWSP telah menghantar surat kepada kedua-dua syarikat tersebut baru-baru ini menyua­rakan kebimbangan di samping mahu mengadakan perbinca­ngan bagi menyelesaikan pertikaian berkenaan.

“Seperti mana pelabur lain, kami berasa bimbang dengan apa yang berlaku kerana perkara ini juga memberi kesan kepada negara. (Namun), kami tidak berada dalam kedudukan untuk bertindak sebagai pendamai tetapi berharap perkara ini akan selesai dengan segera.

“Kami gembira AirAsia telah memberi maklum balas kepada surat itu dan akan mengadakan perjumpaan dalam masa terdekat. Kami masih menunggu maklum balas MAHB dan berharap untuk bertemu mereka juga,” katanya dalam taklimat media prestasi kewangan MAHB 2018, di sini hari ini.

Disember lalu, anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MASSB), menyaman AirAsia dan AirAsia X, masing-masing sebanyak RM9.40 juta dan RM26.72 juta, atas dakwaan tunggakan caj perkhidmatan penumpang (PSC).

PSC, yang dibayar oleh penumpang, dikutip oleh syarikat penerbangan semasa pembelian tiket. Ia kemudiannya diserahkan kepada MAHB selepas selesai penerbangan.

AirAsia kemudiannya bertindak balas dengan menghantar notis tuntutan hampir RM480 juta kepada MASSB atas kerugian yang ditanggung kerana beroperasi di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Syarikat penerbangan tambang murah itu kemudiannya memfailkan permohonan membatalkan tuntutan saman berke­naan namun tawaran penyelesai­an itu ditolak MAHB menerusi surat yang dihantar oleh peguam pe­ngendali lapangan ter­bang itu.

KWSP merupakan pemegang ekuiti kedua terbesar dalam MAHB iaitu sebanyak 10.56 peratus manakala 5.64 peratus dalam AirAsia sekali gus menjadi pemegang saham ketiga terbesar dalam syarikat penerbangan tersebut.

Dalam pada itu, Tunku Alizakri memberitahu, pertikaian antara kedua-dua organisasi itu tidak menjejaskan pulangan dividen KWSP secara langsung.

“Pembayaran dividen kami dipacu daripada pendapatan pelaburan yang dijana oleh pres­tasi pasaran. Sekiranya pertikai­an ini memberi kesan kepada pasaran tentunya ia juga memberi impak kepada pendapatan pelaburan kami. Ini bermakna dividen KWSP tidak terkesan secara langsung,” ujarnya.