Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, sebarang lanjutan berhubung keputusan itu bergantung kepada kelulusan yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, secara keseluruhan, proses pengambilalihan bagi Prudential PLC melupuskan kepentingan itu akan mengambil masa sehingga Julai tahun ini.

“Buat masa ini, kami masih me­nunggu keputusan rasmi daripada Prudential PLC memandangkan kami telah mengemukakan bidaan kepada firma tersebut.

“Kami kini berada di pe­ringkat fasa kedua untuk pro­ses bidaan bagi mengambil alih 30 peratus kepentingan dalam syarikat insurans ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Reuters melaporkan Prudential akan menjual 30 peratus kepentingan kepada KWAP yang dijangka bernilai AS$435 juta (RM1.35 bilion) dengan unitnya di Malaysia perlu mematuhi pe­raturan pemilikan asing.

Prudential Assurance Malaysia Bhd. merupakan unit insurans hayat milik penuh syarikat insurans terbesar Britain itu berdasarkan aset. Malah, ia merupakan satu daripada peneraju syarikat insurans asing di negara-negara Asia Tenggara.

Bank Negara Malaysia (BNM) tahun lalu me­nguatkuasakan had pemilikan asing sebanyak 70 peratus dan mahu syarikat insurans meningkatkan penyertaan peme­gang saham tempatan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus.

Firma asing mempunyai sehingga Jun 2018 untuk meme­nuhi syarat tersebut dan syarikat insurans yang gagal memenuhi peraturan akan berdepan tindakan.

Ini menyebabkan, syarikat insurans asing berebut-rebut untuk mengurangkan pegangan mereka dalam unit tempatan bagi mematuhi arahan BNM di bawah inisiatif untuk mengangkat penyertaan domestik dalam industri.

Selain Prudential, dua lagi syarikat insurans iaitu Great Eastern Holdings Ltd. dan Tokio Marine Holdings Inc. juga dilaporkan sedang berbincang dengan pelabur, dana pencen dan bank bagi mengurangkan pegangan.

Bagaimanapun, laporan Reuters yang memetik sumber itu menyatakan perbincangan antara Prudential PLC dengan KWAP tidak eksklusif dan butiran me­ngenai kemungkinan berlakunya urusniaga itu hanya akan dimuktamadkan seawal bulan ini.

Jelas sumber itu lagi, difahamkan perbincangan tersebut juga kemungkinan besar tidak membuahkan hasil memandang­kan syarikat insu­rans tersebut turut mempunyai kecenderungan untuk menyenaraikan unitnya ke Bursa Malaysia dalam usaha mengurangkan pegangan.