Naib Presiden dan Pengarah Urusan Asia Pasifik dan Amerika Latin Hotels.com, Abhiram Chowdhry berkata, kajian itu turut mendedahkan sebanyak 31 peratus hotel di Malaysia kini menawarkan perkhidmatan mengikut permintaan pelancong China termasuk kakitangan berbahasa Mandarin dan Wi-Fi.

Jelas beliau, sebanyak 28 peratus pengurusan hotel tempatan juga telah menawarkan latihan bahasa Mandarin kepada kakitangan bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong China.

Katanya, Kuala Lumpur telah tersenarai buat pertama kali sebagai antara 10 destinasi Asia Pasifik paling popular mengatasi destinasi lain seperti Bali dan Seoul disebabkan tawaran beli-belah, makanan dan budaya yang menarik minat pelancong China.

“Selain itu, hotel tempatan juga menjadi antara hotel yang memberi nilai terbaik seluruh dunia dengan Pulau Pinang menjadi destinasi yang menawarkan harga hotel terendah dalam kalangan pelancong China diikuti Hanoi dan Kuala Lumpur.

“Potensi pertumbuhan bagi kehadiran pelancong China dan kuasa membeli mereka dilihat sangat besar dengan 61 peratus hotel di negara ini menyaksikan peningkatan pelancong China tahun lalu berbanding hanya 42 peratus di negara-negara lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

CITM turut mendedahkan pelancong China telah memasuki ‘fasa’ baharu yang menginginkan lebih banyak masa melancong ke pelbagai lokasi pelancongan dan pengalaman yang lebih eksotik dengan ketika ini secara purata, pelancong China berbelanja sebanyak 28 peratus pendapatan bagi pelancongan antarabangsa.