Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Amanie Group, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, tiga ciri utama fungsi mata wang yang sah adalah ia boleh dijadikan medium pertukaran, penyimpanan nilai dan alat pengukuran.

Walau bagaimanapun, katanya, mata wang kripto hanya menepati satu kriteria sahaja iaitu medium pertukaran semata-mata.

“Saya merumuskan mata wang digital tersebut ketika ini sekadar bersifat medium pertukaran yang mana banyak platform untuk menukarkan daripada wang kepada kripto tetapi kripto kepada wang tidak begitu banyak.

“Ia masih belum mencapai tahap diiktiraf sebagai mata wang,” katanya kepada pemberita sempena Persidangan Meja Bulat Mata Wang Kripto dan Sistem Kewangan Digital anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini pada Rabu lalu.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah IKIM, Datuk Dr. Syed Othman Al-Habshi dan Felo Kanan merangkap Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (Syarak), Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran.

Dalam pada itu, Mohd. Daud menyokong pengenalan Dasar Pen­cegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembanterasan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT) bagi Mata Wang Digital oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata, dasar yang bertujuan meningkatkan kete­lusan bagi aktiviti mata wang digital di Malaysia itu akan dapat membantu orang ramai membuat penilaian lebih jelas.

“Ini kerana terlalu banyak pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan pada waktu ini melakukan skim penipuan mata wang kripto dan masalahnya, ramai rakyat Malaysia yang mempercayainya.

“Malaysia perlu menubuhkan satu agensi untuk memantau dan menyiasat setiap pelancaran skim pelaburan mata wang kripto di peringkat dalam atau luar negara supaya dapat melindungi para pelabur,” tambahnya.