Volvo XC40 adalah model terkini yang dilancarkan pada penghujung tahun lalu. Ia merupakan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak yang telah memenangi anugerah berprestij seperti Kereta Terbaik Jepun (JCOTY) 2018 dan Anugerah Kereta Terbaik Eropah (COTYE) 2018.

Kenapa ia memenangi anugerah itu? Pada pendangan penulis, XC40 ini menampilkan rupa dan gaya yang di luar kotak. Harus diakui fizikalnya nampak berkotak, tetapi ditempa dengan gaya yang tersendiri.

Rupa luaran

Pada rupa hadapannya, jelas nampak imej kotak dengan sudut tepat 90 darjah. Jeriji besar dengan garis silang logo adalah identiti utama Volvo. Ia diapit oleh lampu tukul Thor yang merupakan tarikan paling utama untuk Volvo. Secara simboliknya, tukul menggambarkan betapa kukuhnya kenderaan Volvo. Tukul Thor itu juga dijadikan lampu nyalaan siang (DRL) dan juga lampu signal.

Pada bampar juga, diletakkan lampu kabus yang agak kecil pada kotak sisi. Pada sisinya tidak terdapat garisan kontur cuma warna badan ditinggikan pada bahagian belakang yang mengecilkan sudut pandangan penumpang belakang. Oleh kerana XC40 ini menampilkan dua tona warna, bumbung dan badannya dicat dengan dua warna berbeza. Ya, warna ini menampilkan perbezaan untuk jentera ini.

Bahagian belakang masih dicondongkan dengan lampu utama yang menonjol berbentuk L menirus ke atas. Ya, memang cantik susunan lampu itu. Bonet boleh dibuka dengan kuasa elektrik yang menawarkan ruang seluas 479 liter.

Kemasan dalaman

Melangkah ke dalam, pastinya anda akan kagum. Sebagaimana Sweden mengagumkan orang ramai dengan perabot Ikea, begitu jugalah dengan Volvo. Kerusi pemandu dan penumpang depan adalah separa bucket dengan larasan elektrik. Penyandar kepala jenis cembung dan tirus ke atas memang sinonim untuk semua model Volvo.

Kerusi pula jenis balutan kulit Charcoal Leather dan Nubuck. Ia memang direka mengikut garis kontur tubuh bagi mengurangkan keletihan untuk pemanduan yang lama. Cuma kerusi penumpang belakang agak tegak sedikit.

Papan pemukanya pula agak ringkas tanpa banyak butang bantuan pemanduan. Di tengahnya ialah skrin sentuh besar yang menjadi pusat kawalan kepada pelbagai fungsi seperti menyelaraskan pendingin hawa, memilih stesen radio, dan banyak lagi. Ia seperti sebuah tablet dan lagi baik jika boleh dicabut untuk dibawa keluar.

Corong pendingin hawa juga menarik yang direka di luar kotak. Papan pemuka juga unik dengan garisan kotak kecil yang disusun di tengah-tengahnya secara memanjang. Papan pemuka juga jenis getah lembut. Cuma agak kecewa kerana tidak disertakan dengan lampu ambian.

Prestasi

Angka-angka ini akan dapat membantu menggambarkan kuasa pemanduannya. Kuasa maksimumnya ialah 250hp @ 5,500rpm dan kuasa kilas ialah 350Nm @ 1,800-4,800rpm. Pecutan 0-100 kilometer/sejam (km/j) ialah 6.4 saat.

Jadi elemen kuasa tersebut dihasilkan daripada enjin 2 liter Drive E. Ujian pemanduan dari Kuala Lumpur ke Sabak Bernam nyata menyeronokkan. Walaupun kawalan stereng berkuasa agak ringan, tetapi masih dalam kawalan. Tukaran gear 8 kelajuan agak lembut dengan mod eco tetapi agak sedikit keras jika pada mod sport.

Sistem gantungan suspensi jenis MacPherson strut di hadapan dan Multilink di belakang agak memuaskan di lebuh raya dan jalan kampung. Cuma ketika membelok, terasa agak bergelora di belakang. Tetapi ia sebuah SUV dengan titik kelegaan yang tinggi, jadi ia bukanlah sesuatu yang janggal.

Deruan enjin juga agak perlahan di dalam kabin pada kelajuan 110 km/j. Apatah lagi sistem audio berprestasi tinggi dengan 8 speaker menghasilkan bunyi muzik yang cukup sempura.

Di tambah dengan ciri-ciri keselamatan yang terbaik dalam kelasnya iaitu Pilot Assist, City Safety, Run-Off Road Protection, Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA) dengan Brek Automatik (BA) menjadikan penulis yakin untuk memecut pada kelajuan tinggi ditambah lagi dengan pacuan semua roda (AWD).

Cuma penggunaan teknologi kadang-kala meletihkan. Sebagai contoh Lane Keeping Aid (LKA) akan membantu jentera kekal di laluannya dengan stereng membetulkan kedudukan secara automatik mengikut garis jalan, Tetapi jika anda kerap memotong, anda akan rasakan stereng bergegar sedikit kerana anda melawan sistem itu.

Walau apa kesimpulan yang dibuat, Volvo XC40 AWD R-Design ini cukup menawan dan seksi.