Pengerusinya, Mohd. Azham Abd. Jabar berkata, peningkatan hasil koperasi itu membuktikan bahawa mereka serius dalam mengembangkan perniagaan koperasi demi meningkatkan sosioekonomi dan kebajikan ahlinya.

Sehubungan itu, Mohd. Azham memberitahu, pada tahun ini, pihaknya menyasarkan sebanyak RM16.5 juta hasil perolehan koperasi selain melaksanakan pelan perancangan jangka panjang yang bertujuan meningkatkan hasil kepada RM22.1 juta menjelang 2023.

“Perolehan itu, sama ada melibatkan perbelanjaan modal di sektor perladangan, peruncitan dan perhotelan. Selain itu, kita menyasarkan berada pada kedudukan 45 dalam index 100 koperasi terbaik Malaysia menjelang 2023.

“Perancangan perniagaan Koponas ini adalah selaras dengan strategi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan selaras dengan matlamat Dasar Koperasi Negara,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pada tahun lalu, Koponas telah diiktiraf di kedudukan ke-52 koperasi terbaik di negara ini.

Katanya, lebih membanggakan kedudukan itu membabitkan sebanyak 13,648 koperasi berdaftar di seluruh negara.

“Pencapaian tersebut merupakan satu detik sejarah buat kami kerana dalam tempoh 43 tahun penubuhannya, Koponas telah berada dalam kalangan koperasi terbaik di negara ini.

“Oleh itu, kami berazam dan bertekad untuk terus bekerja keras, supaya Koponas berada pada kedudukan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya yang memaklumkan Koponas kini mempunyai sebanyak 8,600 ahli. - UTUSAN ONLINE