Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, FIATA yang merupakan organisasi bukan kerajaan terbesar melibatkan bidang pengangkutan tersebut akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 4 hingga 8 Oktober akan datang.

Katanya, kongres tersebut platform terbaik kepada komuniti logistik dunia untuk mengetahui usaha yang telah dilakukan kerajaan Malaysia dalam menyokong dan menambah baik keupayaan industri terbabit di negara ini.

“Acara ini sebagai saluran terbaik untuk Malaysia mencapai matlamatnya untuk meletakkan diri sebagai hub logistik pilihan di Asia. Industri logistik adalah tulang belakang kepada rantaian bekalan dan memainkan peranan utama dalam merangsang dan memudahkan perdagangan serta dalam masa yang sama merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Saya percaya sudah tiba masanya industri logistik tempatan untuk merentasi luar daripada pasaran serantau. Penyedia perkhidmatan logistik kita harus bersedia untuk menjadi syarikat tempatan yang mempunyai capaian global,” katanya pada majlis prapelancaran Kongres Dunia FIATA 2017 di sini hari ini.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, kementerian diminta untuk menyediakan asas kepada Malaysia untuk menjadi hab logistik dan hab penghantaran serta pengedaran bagi rantau Asia.

“Kewujudan Zon Perdagangan Bebas Digital di Aeropolis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga tepat pada masanya untuk membolehkan negara ini lebih pesat dalam bidang e-dagang.

“Saya mahu mengajak pemain logistik tempatan untuk menyertai pasaran baru muncul ini sejajar dengan usaha Malaysia untuk mengembangkan saiz pasaran e-dagang kepada AS$3.4 bilion (RM14.9 bilion) menjelang 2020,” ujarnya.

Kongres yang bertemakan ‘Logistik Jambatan Perdagangan Global’ tersebut dianjurkan oleh Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) dengan sokongan Kementerian Pengangkutan.

FIATA mewakili kira-kira 40,000 ejen dan firma industri penghantar dan logistik dengan seramai 10 juta pekerja di 160 negara. - UTUSAN ONLINE