Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir berkata, kerajaan memandang serius nasib serta kegusaran para kontraktor yang sukar memperoleh projek pada masa ini.

Bagaimanapun katanya, kerajaan akan sentiasa mencari kaedah terbaik bagi membantu golongan tersebut.

“Kami di kementerian-kementerian termasuk dalam mesyuarat Kabibet semalam membincangkan hal ini (nasib kontraktor). Perdana Menteri pun ada menyebut perkara ini mengenai kegusaran dan nasib kontraktor kecil ini.

“Soal sekarang, semua orang tahu mengenai kekangan kewangan sehingga turut menyebabkan banyak benda kena tangguh. Bukan sahaja kontraktor kecil, kontraktor besar pun tidak banyak dapat projek sekarang ini.

“Kita akan mengambil perhatian perkara ini. Bukan sahaja Bumiputera malah Orang Asli juga mengadu mendapat peluang yang sikit,” katanya ketika ditemui selepas majlis ramah mesra dan dialog di Beseri di sini malam tadi.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan luahan kontraktor Bumiputera yang kebanyakannya memegang lesen G1 atau dikenali sebagai Kelas F dahulu yang sukar mendapat projek kerajaan.

Malah ada dalam kalangan kontraktor yang sudah lebih setahun tidak mendapat projek sehingga menyebabkan kehidupan mereka menjadi sukar selain terpaksa melakukan pelbagai kerja kampung untuk meneruskan kesinambungan hidup.

Tambah Mohd. Anuar, beliau memahami ramai dalam kalangan kontraktor kecil yang tertekan malah ada yang menangis meluahkan kegusaran itu ketika bertemunya.

“Namun dalam keadaan sekarang, diharap semua dapat memahami dan kita yakin masalah kekakangan kewangan ini akan selesai dalam tempoh terdekat ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE