Berasal dari konsep GT ter­kenal dunia, Kia Stinger menerima pengiktirafan global bagi campuran yang berprestasi tinggi dan keselesaan yang tertinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza Corp Holdings Sdn. Bhd., Datuk Samson Anand George berkata, ia melambangkan semangat berani dan sukakan cabaran yang menggabungkan prestasi lincah dan penuh gaya.

Katanya, Kia Stinger didatangkan dalam dua varian 3.3 liter V6 GT dan 2.0 liter GT-Line bagi memenuhi permintaan pelanggan di Malaysia, masing-masingnya ditawarkan pada harga RM309,888 dan RM239,888 tanpa insurans.

“Dengan itu, kami percaya Kia Stinger akan meningkatkan identiti jenama dan akan menjadi penanda aras revolusi untuk masa depan kenderaan Kia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kia Stinger 2.0 liter GT-Line didatangkan dengan enjin Theta II 2.0 liter empat silinder turbo yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 251hp @ 6,200 rpm dan kuasa kilas maksimum 353Nm.

Prestasi dipertingkatkan lagi menerusi varian 3.3 liter turbo berkembar enjin V6 Lambda T-GDi berkuasa 365hp @ 6,000 rpm dan kuasa kilas maksimum 510Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm.

Ia membolehkan kereta itu mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik.

Turut menampilkan penggunaan Centrifugal Pendulum Absorber (CPA) pertama buat Kia untuk membantu mengurangkan ‘torsional vibrations’ melalui ‘drivetrain’.

Antara ciri keselamatan lain termasuk bantuan mula mendaki (HAC), brek antikekunci (ABS), sistem kawalan cengkaman (TCS) dan tujuh beg udara.