Menurut Indeks Perniagaan Asia Thomson Reuters/INSEAD, yang mewakili unjuran enam bulan daripada 104 buah syarikat, indeks berkenaan jatuh kepada 58 mata bagi suku Julai hingga September, yang terendah sejak suku keempat 2015 berbanding 74 mata pada suku sebelumnya.

Ia merupakan penurunan suku kedua berturut-turut bagi indeks berkenaan dan kadar kejatuhannya adalah yang paling teruk sejak kajian dijalankan pada 2009. Bacaan di atas 50 mata menunjukkan tinjauan positif.

“Penurunan dalam Indeks Perniagaan Asia memberi petunjuk jelas terhadap kelembapan ekonomi,” kata Antonio Fatas, Profesor ekonomi di sekolah perniagaan global INSEAD yang berpangkalan di Singapura, sambil menambah bahawa sejarah menunjukkan keputusan kaji selidik berkait rapat dengan perubahan dalam pertumbuhan ekonomi di Asia Pasifik.

“Kami telah menyaksikan peningkatan dalam kitaran ekonomi dunia yang kini telah berakhir.

Kita juga telah melihat kitaran dalam ekonomi maju dan pasaran baharu muncul. Kajian ini mengesahkan bahawa kebimbangan ini adalah nyata,” katanya.

Rata-rata responden yang mengambil bahagian dalam kaji selidik berkenaan mengatakan perang perdagangan global merupakan risiko perniagaan yang terbesar, manakala risiko kedua yang dikenal pasti termasuklah kelembapan ekonomi China dan turun naik mata wang.

Kaji selidik itu dijalankan dari 31 Ogos sehingga 14 September lalu.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump meningkatkan perang perdagangannya terhadap China pada Isnin dengan me­ngenakan tarif 10 peratus ke atas kira-kira AS$200 bilion (RM828 bilion) import China dan memberi amaran untuk menaikkan tarif jika China mengambil tindakan balas.

China bagaimanapun tetap bertindak balas dengan menambah kira-kira AS$60 bilion (RM248.60 bilion) produk AS ke dalam senarai tarif importnya.

Penganalisis mengatakan bahawa perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar di dunia hanya memberi impak sederhana kepada pertumbuhan kedua-dua negara, tetapi akan memberi implikasi yang jauh lebih besar kepada negara-negara lain kerana rantaian nilai glo­bal, terutamanya negara-negara Asia yang banyak bergantung kepada China untuk perdagangan.

Bagaimanapun, subindeks ba­gi China turun kepada 25 daripada 63, mewakili bacaan terendah dan ia merupakan unjuran negatif pertamanya.

“Oleh kerana China telah menjadi sasaran utama bagi AS, terdapat peningkatan ketidakpastian me­ngenai ekonomi China,” kata Fatas.

Ketegangan hubungan antara AS dan China juga telah me­ngurangkan minat risiko pelabur dan diburukkan lagi dengan aliran keluar daripada pasaran baharu muncul, yang juga turut terjejas akibat kenaikan kadar faedah AS dan krisis kewangan di Turki dan Argentina.

“Mata wang Asia yang terjejas teruk tahun ini termasuklah rupee India, rupiah Indonesia dan peso Fi­lipina dan Delhi, Jakarta serta Manila masing-masing telah meningkatkan kadar faedahnya bagi menyokong mata wang mereka,” katanya.

Di sebalik perkembangan ini, sub indeks kaji selidik itu menunjukkan syarikat di Indonesia dan India adalah yang paling optimis selepas Thailand. – REUTERS